Hakam, Warta Kerajaan Negeri Selangor 2016.


NEGERI SELANGOR

Warta Kerajaan

DITERBITKAN DENGAN KUASA
GOVERNMENT OF SELANGOR GAZETTE

--------------------------------------------------------------------------------
            Jil. 67                             8hb Mei 2014             TAMBAHAN No. 5
            No. 10                                                                  PERUNDANGAN
--------------------------------------------------------------------------------

ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM
(NEGERI SELANGOR) 2003
Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014

SUSUNAN KAEDAH


Bahagian I
PERMULAAN




Kaedah

1. Nama dan permulaan kuat kuasa
2. Tafsiran

Bahagian II
PELANTIKAN HAKAM


3. Kuasa Mahkamah
4. Pelantikan Hakam
5. Tatacara pelantikan Hakam
6. Pelantikan anggota Panel Hakam
7. Penamatan pelantikan anggota Panel Hakam
8. Kelayakan seorang Hakam

Bahagian III
FUNGSI HAKAM

9.  Fungsi Hakam
10.Tanggungjawab Hakam

Bahagian IV
TATACARA MAJLIS TAHKIM

11. Tatacara Majlis Tahkim
12. Penentuan jenis perceraian oleh Hakam
13. Keengganan suami atau isteri hadir dalam prosiding Majlis Tahkim
14. Laporan Majlis Tahkim
15. Sighah talak dan khuluk
16. Tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim
17. Pemberhentian prosiding Majlis Tahkim
18. Keputusan Majlis Tahkim
19. Merekod lafaz talak dan mendaftar perceraian
20. Kehadiran Peguam Syarie dan pihak lain

Bahagian V
JAWATANKUASA HAKAM


21. Penubuhan Jawatankuasa
22. Keanggotaan Jawatankuasa
23. Mesyuarat Jawatankuasa
24. Fungsi Jawatankuasa


Bahagian VI
ETIKA HAKAM


25. Etika Hakam

Bahagian VII
ADUAN DAN SIASATAN TERHADAP PANEL HAKAM


26. Kawalan Panel Hakam
27. Aduan terhadap Panel Hakam
28. Siasatan Jawatankuasa
29. Pembatalan pelantikan


Bahagian VIII
AM

30. Tempat Majlis Tahkim
31. Daftar Panel Hakam
32. Bayaran elaun Hakam
33. Rujukan kepada Hukum Syarak
34. Sekatan







ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM
(NEGERI SELANGOR) 2003
Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014

Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 48 dan perenggan 135(3)(i), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 2/2003], Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Majlis, membuat kaedah-kaedah yang berikut:


Bahagian I
PERMULAAN

Nama dan permulaan kuat kuasa

1. (1) Kaedah-kaedah ini bolehlah dinamakan Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri         Selangor) 2014.
 
    (2) Kaedah-Kaedah ini disifatkan telah mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2013.
    Tafsiran

2. Dalam Kaedah-Kaedah ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna        yang lain—

“Daftar Panel Hakam” ertinya suatu bentuk daftar bagi merekodkan senarai anggota Panel Hakam sebagaimana yang disebut di bawah kaedah 31;

“darar syarie” ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak;

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 1/2003];

“Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam” ertinya Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 2/2003];

“Hakam” ertinya seseorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihak-pihak atau oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri;

“Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi, atau Hanbali; “‘iwadh” ertinya apa-apa bayaran atau nilaian yang digunakan sebagai tebus talak oleh isteri kepada suami bagi perceraian secara khuluk;

“Jawatankuasa” ertinya Jawatankuasa Hakam yang ditubuhkan di bawah kaedah 21;97 Sel. P.U. 5.

“Ketua Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan termasuklah Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

“khuluk” ertinya perceraian antara suami dan isteri dengan ‘iwadh;

“Mahkamah” ertinya Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah subseksyen 55(1) atau 55(2) Enakmen Pentadbiran;

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam Selangor yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran;

“Majlis Tahkim” ertinya sesi timbang tara atau proses penyelesaian perkelahian (shiqaq) yang melibatkan pertemuan suami dan isteri bersama dengan Hakam untuk tujuan perdamaian atau perceraian dengan lafaz talak atau dengan khuluk;

“Panel Hakam” ertinya suatu panel Hakam yang dilantik oleh Jawatankuasa di bawah kaedah 6;

“Peguam Syarie” ertinya seseorang yang diterima sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen 80 Enakmen Pentadbiran;

“Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar, Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan termasuklah Penolong Pendaftar;

“Pengerusi” ertinya Pengerusi Jawatankuasa Hakam di bawah perenggan 22(1)(a);

“prinsipal” ertinya suami atau isteri yang melantik Hakam masing-masing di bawah Kaedah-Kaedah ini;

“Setiausaha” ertinya Setiausaha Jawatankuasa Hakam di bawah subkaedah 22(5);

“shiqaq” ertinya perkelahian antara suami dan isteri yang berlarutan yang menjejaskan kerukunan rumah tangga.

Bahagian II
PELANTIKAN HAKAM

Kuasa Mahkamah

3. (1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa shiqaq sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin mengarahkan suami dan isteri melantik Hakam dari kalangan saudara karib masing-masing.

(2) Jika suami dan isteri atau salah satu pihak gagal mengemukakan Hakam masing-masing, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin melantik seorang Hakam dari kalangan anggota Panel Hakam atau mana-mana orang yang disebut dalam perenggan 4(1)(c) bagi pihak-pihak itu.

(3) Sebelum melantik Hakam, Mahkamah hendaklah memutuskan bahawa shiqaq telah berlaku antara suami dan isteri setelah Mahkamah menjalankan siasatan.

(4) Mahkamah hendaklah memutuskan bahawa shiqaq sentiasa berlaku dalam keadaan tertentu termasuklah—

(a) perkelahian yang kerap antara suami dan isteri itu sama ada oleh sebab—

(i)   nusyuz isteri;
(ii)  kezaliman suami;
(iii) ketidaktentuan siapa yang benar antara kedua-duanya; atau
(iv) salah satu pihak atau kedua-dua pihak berdusta atau menuntut yang bukan             hak.

(b) perkelahian yang kerap antara suami dan isteri sehingga menimbulkan kesukaran menjalankan tanggungjawab masing-masing dan saling tuduh menuduh tidak melaksanakan hak sebagai suami dan isteri;

(c) suami atau isteri saling tuduh-menuduh antara keduanya mempunyai hubungan yang melampaui Hukum Syarak dengan perempuan atau lelaki lain;

(d) perkelahian yang kerap hingga menyebabkan pukul-memukul;

(e) salah seorang meninggalkan rumah kediaman, tidak tinggal bersama sedangkan punca sebenar tidak dapat dibuktikan oleh kedua-dua pihak di hadapan Mahkamah;

(f) suami atau isteri saling tuduh-menuduh antara keduanya mengenai tanggungjawab masing-masing terhadap anak-anak sehingga berlaku pertikaian dan perkelahian yang kerap;

(g) jika didapati bahawa sebarang tuntutan oleh isteri untuk mendapatkan pembubaran perkahwinan tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah atas alasan dia tidak dapat membuktikan kebenarannya dan Mahkamah mendapati pertikaian itu masih lagi berterusan atau berulang antara suami isteri tersebut; atau

(h) apa-apa tindakan yang menyebabkan darar syarie ke atas isteri atau suami.
Pelantikan Hakam.

4. (1) Hakam boleh dilantik dari kalangan—

(a) saudara karib suami dan isteri yang memenuhi kelayakan di bawah subkaedah 8(1) dan (2);

(b) anggota Panel Hakam yang dilantik di bawah kaedah 6; atau

(c) mana-mana Pegawai Syariah atau Pegawai Hal Ehwal Islam dalam        Perkhidmatan Awam Am Persekutuan atau Negeri atau mana-mana Pegawai Majlis yang mahir dalam bidang kekeluargaan dan Hukum Syarak.

(2)Bagi maksud perenggan (1)(a), ungkapan “saudara karib” ertinya mana-mana orang lelaki yang mempunyai pertalian nasab, persemendaan atau susuan yang tahu akan hal keadaan kes itu.

Tatacara pelantikan Hakam

5. (1) Bagi maksud subkaedah 3(1), Mahkamah hendaklah mengarahkan suami dan isteri melantik Hakam bagi pihak masing-masing dari kalangan saudara karib suami dan isteri sebagaimana yang diperuntukkan di bawah perenggan 4(1)(a) dalam tempoh empat belas hari dari tarikh shiqaq diputuskan oleh Mahkamah dengan menggunakan Borang 1 Jadual Pertama.

(2) Setelah suami dan isteri melantik Hakam masing-masing, Mahkamah hendaklah merekodkan dan mengisytiharkan pelantikan itu melalui suatu perintah.

(3) Bagi maksud subkaedah 3(2), pelantikan Hakam oleh Mahkamah menurut perenggan 4(1)(b) dan (c) hendaklah dibuat dengan menggunakan Borang 2 Jadual Pertama.

Pelantikan anggota Panel Hakam

6. (1) Tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan di bawah subkaedah 8(3), Majlis boleh, atas cadangan Jawatankuasa, melantik mana-mana orang sebagai anggota Panel Hakam.

(2) Mana-mana orang yang dilantik sebagai anggota Panel Hakam hendaklah didaftarkan dalam Daftar Panel Hakam.
Penamatan pelantikan anggota Panel Hakam

7. Pelantikan seseorang anggota Panel Hakam hendaklah tamat dan dikeluarkan daripada Daftar Panel Hakam jika dia—

(a) mati;

(b) meletakkan jawatan melalui surat yang dialamatkan kepada Pengerusi Majlis, melalui Pengerusi; atau

(c) hilang upaya untuk melaksanakan tugasnya sebagai seorang Hakam.

Kelayakan seorang Hakam

8. (1) Tertakluk kepada subkaedah (2), mana-mana saudara karib suami dan isteri layak dilantik sebagai Hakam jika dia—

(a) beragama Islam;

(b) lelaki;

(c) berakal dan baligh (mukalaf);

(d) adil dan amanah; dan

(e) mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan Hukum Syarak.

(2) Mana-mana Peguam Syarie yang mewakili suami atau isteri dalam sesuatu prosiding lain di Mahkamah tidak boleh dilantik sebagai Hakam bagi suami atau isteri itu kecuali diperintahkan oleh Mahkamah.

(3) Seseorang yang hendak dilantik dan didaftarkan sebagai anggota Panel Hakam hendaklah—

(a) beragama Islam;

(b) warganegara Malaysia;

(c) lelaki;

(d) berakal dan baligh (mukalaf);

(e) adil dan amanah;

(f) berkelakuan baik dan tidak pernah disabitkan atas apa-apa kesalahan jenayah  sama ada di Malaysia atau di mana-mana tempat lain;

(g) kompeten dalam hal-hal kekeluargaan dan Hukum Syarak;

(h) tidak pernah dibatalkan pelantikannya di bawah kaedah 29;

(i) bukan seorang yang bankrap;

(j) memiliki kelulusan akademik sekurang-kurangnya di peringkat Sijil Thanawi atau yang setaraf dengannya atau yang lebih tinggi daripada mana-mana institusi pendidikan atau mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dalam bidang pengajian Islam; dan

(k) lulus dalam apa-apa proses penilaian yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.


Bahagian III
FUNGSI HAKAM

Fungsi Hakam

9. Hakam hendaklah menamatkan shiqaq antara suami dan isteri dengan cara mendamaikan atau memisahkan kedua-duanya dengan talak atau khuluk.

Tanggungjawab Hakam

10. Semasa menjalankan Majlis Tahkim, Hakam hendaklah— (a) menerima dan melaksanakan arahan Mahkamah dari semasa ke semasa; dan (b) menjelaskan tentang peraturan umum yang perlu dipatuhi oleh semua pihak sepanjang Majlis Tahkim.

Bahagian IV
TATACARA MAJLIS TAHKIM

Tatacara Majlis Tahkim

11. (1) Prosiding Majlis Tahkim hendaklah bermula selepas pelantikan Hakam dibuat.

(2) Sebelum sesuatu prosiding Majlis Tahkim bermula—

(a) Mahkamah boleh memberi arahan mengenai tatacara perjalanan Majlis Tahkim kepada Hakam dan Hakam hendaklah mematuhi arahan itu dan Hukum Syarak; dan

(b) tertakluk kepada subkaedah (3), Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing dengan menggunakan Borang 3 atau Borang 4 Jadual Pertama, mengikut mana-mana yang sesuai.

(3) Kuasa penuh daripada prinsipal kepada Hakam masing-masing adalah seperti yang berikut:

(a) bagi suami, dia boleh membenarkan Hakamnya untuk melafazkan satu talak atau khuluk di hadapan Mahkamah; dan

(b) bagi isteri, dia boleh membenarkan Hakamnya menerima lafaz khuluk di hadapan Mahkamah.

(4) Jika—

(a) Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan perceraian oleh sebab Hakam tidak mendapat kuasa penuh daripada prinsipal atau sesuatu sebab yang lain;

(b) Hakam tidak mencapai persetujuan dalam mana-mana peringkat Majlis Tahkim;

(c) Mahkamah tidak berpuas hati dengan cara mereka menjalankan Majlis Tahkim; atau

(d) mana-mana Hakam menarik diri atau enggan meneruskan tugasnya sebagai Hakam, Mahkamah boleh memecat dan membatalkan pelantikan mereka dengan menggunakan Borang 5 Jadual Pertama dan melantik Hakam lain dari kalangan anggota Panel Hakam atau mana-mana orang yang disebut dalam perenggan 4(1)

(c) dan hendaklah memberikan kuasa penuh sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subkaedah 11(2) 11(2)(b) kepada mereka dengan menggunakan Borang 6 atau Borang 7 Jadual Pertama, mengikut mana-mana yang sesuai.
Penentuan jenis-jenis perceraian oleh Hakam.

12. (1) Dalam melaksanakan Majlis Tahkim di bawah Kaedah-Kaedah ini, jika kedua-dua Hakam berpuas hati bahawa perdamaian gagal dicapai oleh kedua-dua pihak, mereka hendaklah menentukan pihak yang menjadi punca kepada berlakunya shiqaq itu.

(2)Jika shiqaq itu—

(a) didapati berpunca daripada suami atau kedua-dua suami dan isteri, kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara talak;

(b) didapati berpunca daripada isteri, kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara khuluk dan kadar ‘iwadh hendaklah diputuskan oleh Hakam;

(c) tidak dapat ditentukan puncanya dan tuntutan perceraian dibuat oleh suami, maka kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara talak; atau

(d) tidak dapat ditentukan puncanya dan tuntutan perceraian dibuat oleh isteri, maka kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara khuluk dan kadar ‘iwadh hendaklah diputuskan oleh Hakam.

Keengganan suami atau isteri hadir dalam prosiding Majlis Tahkim

13. Sekiranya suami atau isteri atau kedua-dua pihak itu enggan hadir dalam mana-mana prosiding Majlis Tahkim, keengganan itu tidaklah menyebabkan prosiding itu terhenti dan Hakam boleh membuat keputusannya.
Laporan Majlis Tahkim

14. Hakam hendaklah menyediakan laporan dengan menggunakan Borang 8 Jadual Pertama di akhir setiap Majlis Tahkim dan laporan itu hendaklah dibentangkan di hadapan Mahkamah.
Sighah talak dan khuluk

15. (1) Jika kedua-dua Hakam dalam Majlis Tahkim memutuskan supaya perkahwinan itu dibubarkan, maka talak hendaklah dilafazkan oleh Hakam suami di hadapan dan dengan kebenaran Mahkamah sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.

(2) Jika kedua-dua Hakam dalam Majlis Tahkim memutuskan supaya perkahwinan itu dibubarkan secara khuluk dan ‘iwadh telah disempurnakan oleh isteri dalam Majlis Tahkim, maka khuluk hendaklah dilafazkan di hadapan dan dengan kebenaran Mahkamah.

(3) Lafaz ijab dan qabul bagi khuluk adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.

(4) Lafaz talak Hakam ialah talak ba-in.

Tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim

16. (1) Tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim hendaklah tidak melebihi tiga puluh hari dari tarikh perintah pelantikan dan perisytiharan Hakam yang dikeluarkan oleh Mahkamah.

(2) Mahkamah boleh melanjutkan tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim jika difikirkan patut, tetapi pelanjutan tersebut hendaklah tidak melebihi tempoh enam puluh hari dari tarikh pelanjutan diberi.
Pemberhentian prosiding Majlis Tahkim

17. Mana-mana prosiding Majlis Tahkim hendaklah terhenti, jika—

(a) suami atau isteri itu mati;

(b) suami atau isteri tidak sempurna akal;

(c) Hakam menarik diri sebagai Hakam dengan menggunakan Borang 9 Jadual Pertama; atau

(d) wujud sebab lain yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.

Keputusan Majlis Tahkim

18. Perceraian yang diputuskan dalam Majlis Tahkim adalah muktamad dan tiada rayuan dibenarkan.

Merekod lafaz talak dan mendaftar perceraian

19. Mahkamah setelah membenarkan satu talak dilafazkan di hadapannya hendaklah merekodkan lafaz satu talak itu, dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

Kehadiran Peguam Syarie dan pihak lain

20. Melainkan jika dia adalah anggota keluarga terdekat pihak itu, maka tiada pihak lain atau Peguam Syarie boleh dibenarkan hadir atau mewakili mana-mana pihak di hadapan Hakam.


Bahagian V
JAWATANKUASA HAKAM

Penubuhan Jawatankuasa

21. Majlis hendaklah menubuhkan suatu jawatankuasa yang dikenali Jawatankuasa Hakam.

Keanggotaan Jawatankuasa

22. (1) Jawatankuasa hendaklah terdiri daripada—

(a) Ketua Hakim Syarie, sebagai Pengerusi;

(b) seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, sebagai Timbalan Pengerusi;

(c) Penasihat Undang-Undang Negeri atau wakilnya;

(d) Penasihat Undang-Undang Majlis atau wakilnya;

(e) seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah;

(f) Ketua Pendaftar, Nikah, Cerai Dan Rujuk Negeri atau wakilnya; dan (g) tiga orang yang berkemahiran dalam Hukum Syarak yang dilantik oleh Majlis.

(2) Anggota-anggota Jawatankuasa di bawah perenggan (1)(b) dan (e) hendaklah dilantik oleh Ketua Hakim Syarie.

(3)Anggotayang dilantik di bawah perenggan 1(g) hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun dan layak dilantik semula.

(4) Semua anggota Jawatankuasa yang disebut di bawah subkaedah (1) hendaklah beragama Islam.

(5) Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah menjadi Setiausaha Jawatankuasa.

Mesyuarat Jawatankuasa

23. (1) Pengerusi Jawatankuasa hendaklah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa dan jika Pengerusi tidak hadir, Timbalan Pengerusi hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

(2) Lima orang anggota Jawatankuasa hendaklah membentuk kuorum mesyuarat.

(3) Keputusan mesyuarat Jawatankuasa hendaklah dibuat secara bermesyuarat dan hendaklah secara sebulat suara atau mengikut majoriti ahli yang hadir.

(4) Tertakluk kepada Kaedah-Kaedah ini, Jawatankuasa boleh menetapkan tatacaranya sendiri.

Fungsi Jawatankuasa

24. Jawatankuasa hendaklah mempunyai fungsi-fungsi yang berikut:

(a) mencadangkan kepada Majlis pelantikan mana-mana orang yang berkelayakan sebagai anggota Panel Hakam;

(b) menyediakan dan menyenggara Daftar Panel Hakam;

(c) menyiasat sebarang aduan terhadap mana-mana anggota Panel Hakam;

(d) menetapkan bentuk latihan yang perlu dihadiri oleh anggota Panel Hakam; dan

(e) melaksanakan apa-apa perkara lain yang difikirkan sesuai dan perlu dari semasa ke semasa bagi maksud melaksanakan peruntukan Kaedah-Kaedah ini.


Bahagian VI
ETIKA HAKAM


Etika Hakam

25. (1) Hakam hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan Majlis Tahkim dan tidak melengah-lengahkan tanpa alasan yang munasabah serta mematuhi tatacara dan tempoh perjalanan Majlis Tahkim.

(2) Hakam hendaklah dalam menjalankan tugasnya, melaksanakan keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak.

(3) Hakam yang mengendalikan Majlis Tahkim hendaklah—

(a) tidak mengendalikan Majlis Tahkim apabila dia berada dalam keadaan tidak tenang, marah, lapar, haus, mengantuk, letih atau tidak sihat;

(b) tidak boleh meninggalkan Majlis Tahkim tanpa alasan yang munasabah;

(c) bertindak tegas, adil dan tidak dipengaruhi oleh keadaan atau orang yang hadir di hadapannya;

(d) bersifat terbuka, mesra dan sabar semasa mengendalikan Majlis Tahkim;

(e) menggalakkan pihak-pihak menyelesaikan pertelingkahan mereka dan mencapai persetujuan secara sukarela; dan

(f) memberi layanan yang sama rata kepada pihak-pihak.

(4) Hakam hendaklah—

(a) tidak bersifat berat sebelah;

(b) sentiasa berkecuali;

(c) merahsiakan segala perkara yang didedahkan dalam Majlis Tahkim kecuali apabila diarahkan oleh Mahkamah yang membicarakan kes tersebut;

(d) mengelakkan berlaku konflik kepentingan;

(e) memastikan bahawa dia mempunyai kemahiran atau kepakaran dalam perkara yang menjadi pertikaian; dan

(f) menolak permohonan menjadi saksi atau penasihat kepada pihak-pihak dalam Majlis Tahkim yang pernah dikendalikannya.

(5) Hakam tidak boleh—

(a) berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa dia telah—

      (i) membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugasnya            sebagai Hakam;

      (ii) menggunakan kedudukannya bagi faedahnya sendiri;

(b) berkelakuan dengan cara yang tidak jujur atau dengan sedemikian cara hingga memburukkan atau mencemarkan nama Mahkamah dan menjejaskan Majlis Tahkim yang dikendalikannya;

(c) membelakangkan tugas dan tanggungjawab demi kepentingan dirinya; dan

(d) melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menimbulkan syak tentang keupayaannya untuk berlaku adil dalam menjalankan tugas.


Bahagian VII
ADUAN DAN SIASATAN TERHADAP PANEL HAKAM

Kawalan Panel Hakam

26. Jawatankuasa hendaklah mempunyai kawalan terhadap Panel Hakam yang dilantik di bawah kaedah 6.

Aduan terhadap Panel Hakam

27. (1) Apa-apa aduan mengenai kelakuan mana-mana anggota Panel Hakam hendaklah dibuat secara bertulis kepada Pengerusi.

(2) Mahkamah boleh, pada bila-bila masa, merujuk kepada Pengerusi apa-apa maklumat yang menyentuh kelakuan seseorang Panel Hakam.

(3) Tiada apa-apa jua dalam Kaedah-Kaedah ini boleh dikira sebagai menghalang Jawatankuasa daripada membuat apa-apa aduan, atas usulnya sendiri, yang menyentuh kelakuan seseorang Panel Hakam.

Siasatan Jawatankuasa

28. (1) Setelah Pengerusi menerima sesuatu aduan, dia hendaklah mengarahkan Setiausaha untuk—

(a) memastikan bahawa dokumen yang berikut disampaikan kepada anggota Panel Hakam yang berkenaan secara penyampaian ke diri:

      (i) sesalinan aduan itu; dan

     (ii) suatu notis yang meminta anggota Panel Hakam yang berkenaan, dalam               tempoh empat belas hari dari tarikh penerimaan, memberi suatu                             penjelasan bertulis kepada Jawatankuasa; dan

(b) setelah tamat tempoh empat belas hari, memaklumkan kepada Jawatankuasa berhubung dengan status aduan itu.

(2) Setelah menerima aduan terhadap mana-mana Panel Hakam di bawah subkaedah 28(1) dan penjelasan bertulis, jika ada, di bawah subperenggan 28(1)(a)(ii), Jawatankuasa hendaklah menyiasat aduan itu.

(3) Jika—

(a) aduan itu berasas dan benar, Jawatankuasa hendaklah membuat syor mengenai pembatalan pelantikan kepada Majlis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah kaedah 29; atau

(b) aduan itu didapati tidak berasas Jawatankuasa boleh menolak aduan itu.

Pembatalan pelantikan

29. Majlis atas syor Jawatankuasa, boleh membatalkan pelantikan mana-mana anggota Panel Hakam dan mengeluarkan nama Hakam tersebut daripada Daftar Panel Hakam di bawah kaedah 31 jika—

(a) kelakuan anggota Panel Hakam tersebut, sama ada yang berkaitan dengan tugas-tugasnya sebagai anggota atau selainnya, merupakan kelakuan yang memburukkan nama Majlis atau Mahkamah;

(b) dia telah menjadi tidak berupaya untuk menjalankan tugas-tugasnya dengan sempurna sebagai anggota; (c) pada pendapat Jawatankuasa, dia tidak menghadiri tiga Majlis Tahkim yang dijadualkan secara berturut-turut tanpa apa-apa alasan yang munasabah;

(d) dia bertindak bertentangan dengan Etika Hakam; atau (e) dia seorang bankrap.


Bahagian VIII
AM

Tempat Majlis Tahkim

30. (1) Majlis Tahkim hendaklah dilaksanakan di Mahkamah.

(2) Majlis Tahkim boleh dibuat di tempat lain sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Hakam.

Daftar Panel Hakam

31. Setiausaha hendaklah menyenggarakan suatu rekod pendaftaran anggota Panel Hakam yang dilantik oleh Majlis dalam Daftar Panel Hakam.

Bayaran elaun Hakam

32. Majlis boleh membayar elaun kepada Panel Hakam yang dilantik di bawah kaedah 6 dan perenggan 4(1)(c) mengikut kadar sebagaimana yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga.

Rujukan kepada Hukum Syarak

33. (1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran mana-mana peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah ini yang berlawanan dengan Hukum Syarak adalah terbatal setakat yang ia berlawanan.

(2) Jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan Majlis Tahkim dan Hakam tidak diperuntukkan dengan nyata oleh Kaedah-Kaedah ini, Mahkamah hendaklah mengikut Hukum Syarak.
Sekatan

34. Mana-mana Peguam Syarie yang bertindak sebagai Hakam bagi mana-mana pihak suami atau isteri yang terlibat dalam Majlis Tahkim, tidak boleh mewakili pihak suami atau isteri itu dalam kes-kes lain yang bersangkutan dengannya di mana-mana Mahkamah.






No comments:

Post a Comment