Hakam, alternatif selepas kalah kes cerai.

Hakam, alternatif selepas kalah kes cerai

Siapalah yang mahukan perceraian? Itulah ungkapan yang terlahir dari semua pasangan suami isteri apabila menjejakkan kaki di pintu Mahkamah Syariah.

Hasrat yang dibina sejak melafazkan ijab dan qabul akad pernikahan biarlah berakhir di syurga dan kembali bersama hidup bahagia selama-lamanya.

Perkahwinan ini tidak ubah seperti belayar di lautan lepas. Adakalanya tenang melayari bahtera rumahtangga dan ada ketika bahtera dilambung ombak badai yang menerpa. Entah bila gelombang ombak yang menghempas, tiada siapa yang tahu.

Hari ini kelihatan bahagia senyum dan gembira dan siapa tahu esok dilanda duka dan nestapa. Namun apabila bahtera perkahwinan sudah karam di lautan, pastinya perpisahan adalah cara yang paling baik untuk difikirkan.

Pada kebanyakkan masyarakat, perceraian adalah suatu penghinaan, satu kesalahan, satu kekalahan dan mungkin juga disebut sebagai satu sumpahan. Tetapi apabila direnung kepada kata-kata Allah dalam kitab suci al-Quran di mana pedoman yang ditunjukkan kepada umat Islam menyatakan:-

"Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.” Surah al-Baqarah: 229.
Dapat kita fahami bahawa perceraian bukanlah satu yang ditegah, bukan dihukum berdosa, bahkan perceraian itulah yang menyelamatkan suami isteri daripada terus menerus melakukan dosa sesama mereka. Sekiranya perkahwinan diteruskan akan menyebabkan kemudharatan antara suami isteri, maka perceraian adalah jalan keluar dari permasalahan tersebut.

Ramai yang mengambil langkah yang bijaksana serta terhormat apabila pasangan suami isteri memutuskan untuk bercerai dengan tidak mengungkit kesalahan-kesalahan mereka. Suami isteri sebegini dilihat mempunyai jiwa yang besar dan masih saling hormat menghormati walaupun rumahtangga mereka di ambang kehancuran.

Terputusnya ikatan suami isteri dengan lafaz talaq oleh suami di dalam dewan bicara di Mahkamah Syariah dilihat lebih mulia berbanding dengan pasangan yang memilih untuk membangkitkan isu persengketaan.

Bukanlah bermaksud mereka yang dalam pertikaian suami isteri itu hina, tetapi jalan kehancuran yang mereka pilih itu akan dilalui penuh dengan cabaran onak duri kepahitan.

Dalam kebanyakkan kes perceraian, isteri yang memulakan tindakan memfailkan permohonan cerai secara fasakh atau takliq (sekadar menyebutkan beberapa contoh) akan menghadapi prosedur perbicaraan yang lengkap dan penuh.

Konsep keadilan dalam Islam menyebutkan "Siapa yang mendakwa, dia akan membuktikan" merupakan perjuangan khusus buat isteri untuk membuktikan dakwaan mereka di hadapan Hakim Syarie.

Proses pembuktian inilah yang mengambil masa yang lama, tambahan pula jika isteri tidak diwakili oleh Peguam Syarie. Proses pembuktian ini tidaklah hanya bermaksud memberikan keterangan lisan bersama sendu air mata semata-mata, tetapi perlu bersama dengan pembuktian lain seperti laporan polis, laporan perubatan hospital, gambar-gambar, rekod-rekod bertulis dan sebagainya.

Setelah itu, perlu pula didatangkan saksi-saksi untuk memberikan keterangan bagi menyokong alasan-alasan permohonan cerai isteri tadi. Ada saksi yang boleh diterima oleh mahkamah, ada saksi yang ditolak mengikut prinsip-prinsip keadilan yang sedia ada. 

Belum lagi jika disebutkan dengan dakwaan balas suami yang tentunya akan membela diri begitu begini. Sama sahaja prosesnya, keterangan suami akan diambil dan didengar secara mahkamah terbuka, kemudian bersama saksi-saksi.

Jika lihat semudah ucapan di bibir "pergilah Mahkamah Syariah minta fasakh" tetapi hakikatnya perbicaraan bagi kes permohonan cerai adalah satu perjalanan yang sulit dan melelahkan.

Situasi ini bukan isteri sahaja yang terpaksa melaluinya, tetapi suami juga. Semua mereka suami isteri ini mesti menghadapi tatacara keterangan yang dinamakan soal utama, soal balas dan soal semula dalam mahkamah semasa perbicaraan.

Hakikat perceraian bukanlah semudah membeli stem di Pejabat Pos, atau semudah mendapatkan resit jual beli tetapi lebih daripada itu.

Setelah berbulan-bulan atau mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk kes seperti ini, tiba-tiba di akhir keputusan Hakim Syarie memutuskan:-

"Plaintif gagal mengemukakan bukti dan kes ditolak"

Maka serasa pitam, hilang gelap pandangan bagi isteri yang memohon fasakh tadi. Isteri pun hiduplah dengan tangisan dan kekecewaan yang berpanjangan.

Ada ketikanya, Mahkamah Syariah juga akan dipersalahkan, kata mereka,

"Undang-undang Syariah tidak adil"
"Hakim Syarie melebihkan lelaki"
"Mahkamah Syariah menzalimi wanita"

Bahkan kadangkala terjadi tular di media sosial coretan-coretan keluhan dan caci maki yang penuh dengan umpatan fitnah dan mengeji terhadap Institusi Mahkamah Syariah ini.




No comments:

Post a Comment