Hakam, proses lantikan.

Perlantikan Hakam di Kalangan Ahli Keluarga.


Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memberikan peruntukkan khusus bagi pelantikan Hakam. Semasa perbicaraan iaitu setelah selesai peringkat Jawatankuasa Pendamai dibentuk dan gagal mendamaikan suami isteri yang bertelingkah itu, maka Hakim Syarie akan mensabitkan syiqaq dan mengarahkan untuk lantikan Hakam Peringkat Pertama.

Seksyen 48 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyebutkan:-

Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.

Ciri Hakam yang dilantik di peringkat ini haruslah di kalangan saudara-saudara yang rapat dengan suami dan isteri tersebut. Keutamaan yang penting harus dipilih di kalangan lelaki kerana Hakam mempunyai tanggungjawab yang berat dan mempunyai kuasa melafazkan talaq kepada isteri.

Secara khusus perihal lantikan hakam dengan ciri-ciri khas itu disebutkan di dalam peruntukkan Seksyen 48 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu:-

Pada melantik Hakam di bawah subseksyen (1) Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang berkenaan itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

Manakala dalam Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014, sekali lagi disebutkan secara terperinci tentang kuasa Mahkamah Syariah untuk melantik hakam ini.

Subkaedah 3 (1), Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) menyebutkan:-

Jika Mahkamah berpuas hati bahawa shiqaq sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin mengarahkan suami dan isteri melantik Hakam dari kalangan saudara karib masing-masing.

Perlantikan hakam untuk suami dan dan isteri ini mestilah mempunyai kelayakan dan ciri-ciri khas tertentu. Selain dari saudara karib terdekat, ciri-ciri khas yang lain seperti beragama Islam, seorang lelaki, sihat berakal, seorang yang dewasa, seorang yang mukallaf (boleh dipertanggungjawabkan), seorang yang dipercayai dengan adil dan amanah serta yang mempunyai pengetahuan agama yang asas khas dalam hukum hakam kekeluargaan orang Islam.

Subkaedah 8 (1) Kaedah-kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 menyebut:-


Tertakluk kepada subkaedah (2), mana-mana saudara karib suami dan isteri layak dilantik sebagai Hakam jika dia— (a) beragama Islam; (b) lelaki; (c) berakal dan baligh (mukalaf); (d) adil dan amanah; dan (e) mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan Hukum Syarak.

Pada hari yang ditetapkan oleh Mahkamah, suami dan isteri akan membawa wakil masing-masing untuk dilantik menjadi Hakam mengikut ciri-ciri khas tadi. Mahkamah akan merekodkan semua butiran peribadi wakil-wakil suami isteri ini dan berpuashati dengan kelayakkan mereka, maka Hakim Syarie akan melantik wakil-wakil ini sebagai Hakam Peringkat Pertama.

Wakil yang dilantik ini akan memulakan tanggungjawab mereka sebagai Hakam bermula pada hari tersebut dan akan menjalankan majlis tahkim dengan adil dan amanah.


No comments:

Post a Comment