Hakam, Contoh Kes 2, Alasan Penghakiman

Contoh kes 2.

Contoh kes ini adalah kes sebenar yang berlaku di Mahkamah Syariah Selangor bagi tujuan penjelasan dan menunjukkan perjalanan kes ini sehingga selesai. Nama, nombor kad pengenalan, serta alamat telah diubah dan diberi nama samaran.


Contoh kes ini menunjukkan permohonan cerai oleh isteri yang tidak dipersetujui oleh suami. Suami isteri dalam kes ini melalui peringkat Jawatankuasa Pendamai, dan lantikan Hakam Peringkat Kedua. Hakam-hakam telah menjalankan siasatan dan mendapati punca syiqaq adalah daripada suami dan mencadangkan perceraian. Hakim Syarie menerima syor Hakam ini dan mengarahkan Hakam Suami melafazkan cerai terhadap isteri.



DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI SELANGOR

NO KES MAL: 100XX-055-XXX-2018

DI ANTARA


PLANTIF                                                                 SURIA BINTI SHAM
                                                                                         (NO.K/P: 666666-10-6666)

DAN

DEFENDAN                                                                 ABDUL SUDIN BIN DIN
                                                                                        (NO.K/P: 555555-10-5555)

1. Plaintif dalam kes ini telah memfailkan kes permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Selangor pada 30hb Mac 2016. Alasan permohonan cerai Plaintif di dalam Pernyataan Tuntutannya disebutkan oleh Plaintif sendiri iaitu:-

(a) Saya khuatir tidak dapat menjalankan kewajipan sebagai seorang isteri dan tidak dapat menunaikan hak suami dengan baik kerana tiada lagi persefahaman dan kasih ssayang antara kami;

(b) Mengalami tekanan emosi yang teruk, suami seolah-olah mengganggap saya sebagai seorang pekerja, memalukan saya depan anak-anak;

(c) Suka membandingkan saya dengan wanita lain dan tidak menghargai saya sebagai isteri.


2. Saman dan Pernyataan Plaintif telah disampaikan kepada Defendan pada 14hb April 2016 semasa kehadiran Plaintif dan Defendan. Defendan tidak bersetuju dengan permohonan perceraian Plaintif. Mahkamah mengarahkan Plaintif dan Defendan membawa wakil masing-masing untuk dilantik sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai.

3. Pada 9hb Jun 2016, Plaintif telah membawa wakilnya iaitu Sham Bin Jinan (NO.K/P: 555555-10-5555) yang merupakan ayah kepada Plaintif. Manakala Defendan membawa wakil Ibnor Bin Hasan (No.K/P: 555555-10-5555) yang merupakan bapa saudara Defendan sendiri. Mahkamah telah melantik wakil-wakil yang di bawa oleh Plaintif dan Defendan sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai. Jawatankuasa pendamai akan bersidang di Pejabat Agama Daerah dan dipengerusikan oleh seorang Pegawai hal Ehwal Agama Islam. Laporan Jawatankuasa Pendamai hendaklah diberikan kepada Mahkamah.

4. Pada 16hb Ogos 2016, Jawatankuasa Pendamai telah bersidang dengan kehadiran Plaintif dan Defendan bersama wakil-wakil mereka. Perbincangan dibuat bersama seorang Pengerusi Jawatankuasa Pendamai. Laporan Jawatankuasa Pendamai direkodkan seperti di bawah:-

"Tuan Pengerusi menyatakan segala keputusan akan diserahkan kepada pihak mahkamah. Hasil perbincangan juga telah memanggil wakil Plaintif dan wakil Defendan. Kedua-dua pihak hadir. Hasil perbincangan, telah didapati perdamaian gagal dicapai memandangkan Plaintif berkeras untuk meneruskan perceraian".

5. Pada 15hb September 2016, Hakim Syarie telah mensabitkan syiqaq antara Plaintif dan Defendan. Plaintif dan Defendan memohon kepada mahkamah supaya terus kepada prosiding seterusnya iaitu lantikan Hakam Peringkat Kedua. Plaintif dan Defendan berhujah bahawa tidak praktikal lagi dengan lantikan Hakam Peringkat Pertama kerana mereka tiada lagi wakil yang boleh dan layak untuk dilantik sebagai Hakam Peringkat Pertama. Hakim Syarie meluluskan permohonan Plaintif dan Defendan dan menetapkan tarikh pada 13hb Oktober 2016 untuk lantikan Hakam Peringkat Kedua iaitu Hakam Lantikan daripada panel Majlis Agama Islam Selangor.

6. Pada 13hb Oktober 2016, panel Hakam telah hadir dan diberikan kuasa penuh oleh Mahkamah untuk menjalankan Majlis Tahkim. Majlis Tahkim dijalankan bersama Plaintif dan Defendan selama hampir 1 jam dan bersidang semula di hadapan Hakim Syarie untuk membentangkan Laporan Majlis Tahkim.

7. Laporan Majlis Tahkim menyebutkan :-

"(a) Punca syiqiq adalah apabila suami dan isteri telah tidak duduk bersama bermula dari bulan November 2015 sehingga sekarang.
(b) Tiada unsur mawaddah wa rahmah dalam perkahwinan menyebabkan pihak-pihak sentiasa memendam perasaan marah.
(c) Isteri telah tawar hati dan tidak dapat mentaati perintah suami, sekiranya perkawinan ini diteruskan dan syiqaq yang berteruskan akan berlaku.

Kami (Hakam suami dan Hakam isteri),

dapat mencapai persetujuan dalam Majlis Tahkim ini, berpendapat punca syiqaq adalah daripada suami, dan berpendapat suami isteri patut bercerai secara talaq".

8. Dengan laporan yang dibentangkan oleh Hakam ini, Hakim Syarie mengarahkan Hakam Suami melafazkan cerai terhadap isteri.

9. Hakim Syarie membuat keputusan seperti berikut:-

(a) Mahkamah mensabitkan jatuh talaq satu terhadap Plaintif pada 13hb Oktober 2016.

(b) Mahkamah mengarahkan Plaintif berinddah tiga kali suci.

(c) Mahkamah merekodkan perceraian ini adalah Bain Sughro.

(d) Mahkamah memerintahkan perceraian ini hendaklah didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah dan Sijil Nikah asal dibatalkan.






No comments:

Post a Comment