Hakam, berbeza dengan Jawatankuasa Pendamai (JKP)

Amaran


Amaran


1. Ebook ini adalah hak sepenuhnya penulis www.hakammahkamahsyariah.blogspot.com

2. Semua kandungan di dalam ebook ini tidak boleh diubah, disalin cetak, diedarkan, dijual, digunakan dengan tujuan komersial,  melainkan mendapatkan kebenaran bertulis dari penulis.

3. Semua kandungan di dalam ebook ini, petikan, perenggan, halaman jika diambil dengan tujuan yang sah, hendaklah diberikan kredit atas nama Penulis.

4. Semua tindakan jenayah atau tindakan salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang berkaitan dengan kandungan ebook ini adalah tidak ada kena mengena dengan Penulis dan tidak boleh dilibatkan penulis dengan sebarang tindakan undang-undang.

5. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang salah faham, salah tindakan mana-mana pihak dalam semua kandungan ebook ini.

6. Sebarang aduan yang melibatkan kandungan ebook ini hendaklah melalui email penulis harryazharizal@gmail.com

7. Penulis merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas sokongan anda.


Hakam, seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003


Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003

Peruntukkan Seksyen 48 menyebutkan:-

Timbangtara oleh Hakam

48. (1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.

(2) Pada melantik Hakam di bawah subseksyen (1) Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang berkenaan itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(3) Mahkamah boleh memberi arahan-arahan kepada Hakam tentang hal menjalankan penimbangtaraan dan mereka hendaklah menjalankannya mengikut arahan-arahan itu dan Hukum Syarak.

(4) Jika Hakam tidak dapat bersetuju, atau jika Mahkamah tidak puas hati dengan cara mereka menjalankan penimbangtaraan itu, Mahkamah boleh memecat mereka dan melantik Hakam lain bagi menggantikan mereka.

(5) Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing dan boleh, jika kuasa mereka membenarkan, melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah jika dibenarkan sedemikian oleh Mahkamah, dan jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah merekodkan lafaz satu talaq itu, dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.\

(6) Jika Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan penceraian oleh kerana sesuatu sebab, Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberi kepada mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian dan hendaklah, jika mereka berbuat demikian, merekodkan perintah itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(7) Melainkan jika dia adalah anggota keluarga terdekat pihak itu, maka tiada seorang pun atau Peguam Syarie boleh dibenarkan hadir atau mewakili mana-mana pihak di hadapan Hakam.

Hakam, Warta Kerajaan Negeri Selangor 2016.


NEGERI SELANGOR

Warta Kerajaan

DITERBITKAN DENGAN KUASA
GOVERNMENT OF SELANGOR GAZETTE

--------------------------------------------------------------------------------
            Jil. 67                             8hb Mei 2014             TAMBAHAN No. 5
            No. 10                                                                  PERUNDANGAN
--------------------------------------------------------------------------------

ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM
(NEGERI SELANGOR) 2003
Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014

SUSUNAN KAEDAH


Bahagian I
PERMULAAN




Kaedah

1. Nama dan permulaan kuat kuasa
2. Tafsiran

Bahagian II
PELANTIKAN HAKAM


3. Kuasa Mahkamah
4. Pelantikan Hakam
5. Tatacara pelantikan Hakam
6. Pelantikan anggota Panel Hakam
7. Penamatan pelantikan anggota Panel Hakam
8. Kelayakan seorang Hakam

Bahagian III
FUNGSI HAKAM

9.  Fungsi Hakam
10.Tanggungjawab Hakam

Bahagian IV
TATACARA MAJLIS TAHKIM

11. Tatacara Majlis Tahkim
12. Penentuan jenis perceraian oleh Hakam
13. Keengganan suami atau isteri hadir dalam prosiding Majlis Tahkim
14. Laporan Majlis Tahkim
15. Sighah talak dan khuluk
16. Tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim
17. Pemberhentian prosiding Majlis Tahkim
18. Keputusan Majlis Tahkim
19. Merekod lafaz talak dan mendaftar perceraian
20. Kehadiran Peguam Syarie dan pihak lain

Bahagian V
JAWATANKUASA HAKAM


21. Penubuhan Jawatankuasa
22. Keanggotaan Jawatankuasa
23. Mesyuarat Jawatankuasa
24. Fungsi Jawatankuasa


Bahagian VI
ETIKA HAKAM


25. Etika Hakam

Bahagian VII
ADUAN DAN SIASATAN TERHADAP PANEL HAKAM


26. Kawalan Panel Hakam
27. Aduan terhadap Panel Hakam
28. Siasatan Jawatankuasa
29. Pembatalan pelantikan


Bahagian VIII
AM

30. Tempat Majlis Tahkim
31. Daftar Panel Hakam
32. Bayaran elaun Hakam
33. Rujukan kepada Hukum Syarak
34. Sekatan







ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM
(NEGERI SELANGOR) 2003
Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014

Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 48 dan perenggan 135(3)(i), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 2/2003], Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Majlis, membuat kaedah-kaedah yang berikut:


Bahagian I
PERMULAAN

Nama dan permulaan kuat kuasa

1. (1) Kaedah-kaedah ini bolehlah dinamakan Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri         Selangor) 2014.
 
    (2) Kaedah-Kaedah ini disifatkan telah mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2013.
    Tafsiran

2. Dalam Kaedah-Kaedah ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna        yang lain—

“Daftar Panel Hakam” ertinya suatu bentuk daftar bagi merekodkan senarai anggota Panel Hakam sebagaimana yang disebut di bawah kaedah 31;

“darar syarie” ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak;

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 1/2003];

“Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam” ertinya Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 2/2003];

“Hakam” ertinya seseorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihak-pihak atau oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri;

“Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi, atau Hanbali; “‘iwadh” ertinya apa-apa bayaran atau nilaian yang digunakan sebagai tebus talak oleh isteri kepada suami bagi perceraian secara khuluk;

“Jawatankuasa” ertinya Jawatankuasa Hakam yang ditubuhkan di bawah kaedah 21;97 Sel. P.U. 5.

“Ketua Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan termasuklah Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

“khuluk” ertinya perceraian antara suami dan isteri dengan ‘iwadh;

“Mahkamah” ertinya Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah subseksyen 55(1) atau 55(2) Enakmen Pentadbiran;

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam Selangor yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran;

“Majlis Tahkim” ertinya sesi timbang tara atau proses penyelesaian perkelahian (shiqaq) yang melibatkan pertemuan suami dan isteri bersama dengan Hakam untuk tujuan perdamaian atau perceraian dengan lafaz talak atau dengan khuluk;

“Panel Hakam” ertinya suatu panel Hakam yang dilantik oleh Jawatankuasa di bawah kaedah 6;

“Peguam Syarie” ertinya seseorang yang diterima sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen 80 Enakmen Pentadbiran;

“Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar, Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan termasuklah Penolong Pendaftar;

“Pengerusi” ertinya Pengerusi Jawatankuasa Hakam di bawah perenggan 22(1)(a);

“prinsipal” ertinya suami atau isteri yang melantik Hakam masing-masing di bawah Kaedah-Kaedah ini;

“Setiausaha” ertinya Setiausaha Jawatankuasa Hakam di bawah subkaedah 22(5);

“shiqaq” ertinya perkelahian antara suami dan isteri yang berlarutan yang menjejaskan kerukunan rumah tangga.

Bahagian II
PELANTIKAN HAKAM

Kuasa Mahkamah

3. (1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa shiqaq sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin mengarahkan suami dan isteri melantik Hakam dari kalangan saudara karib masing-masing.

(2) Jika suami dan isteri atau salah satu pihak gagal mengemukakan Hakam masing-masing, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin melantik seorang Hakam dari kalangan anggota Panel Hakam atau mana-mana orang yang disebut dalam perenggan 4(1)(c) bagi pihak-pihak itu.

(3) Sebelum melantik Hakam, Mahkamah hendaklah memutuskan bahawa shiqaq telah berlaku antara suami dan isteri setelah Mahkamah menjalankan siasatan.

(4) Mahkamah hendaklah memutuskan bahawa shiqaq sentiasa berlaku dalam keadaan tertentu termasuklah—

(a) perkelahian yang kerap antara suami dan isteri itu sama ada oleh sebab—

(i)   nusyuz isteri;
(ii)  kezaliman suami;
(iii) ketidaktentuan siapa yang benar antara kedua-duanya; atau
(iv) salah satu pihak atau kedua-dua pihak berdusta atau menuntut yang bukan             hak.

(b) perkelahian yang kerap antara suami dan isteri sehingga menimbulkan kesukaran menjalankan tanggungjawab masing-masing dan saling tuduh menuduh tidak melaksanakan hak sebagai suami dan isteri;

(c) suami atau isteri saling tuduh-menuduh antara keduanya mempunyai hubungan yang melampaui Hukum Syarak dengan perempuan atau lelaki lain;

(d) perkelahian yang kerap hingga menyebabkan pukul-memukul;

(e) salah seorang meninggalkan rumah kediaman, tidak tinggal bersama sedangkan punca sebenar tidak dapat dibuktikan oleh kedua-dua pihak di hadapan Mahkamah;

(f) suami atau isteri saling tuduh-menuduh antara keduanya mengenai tanggungjawab masing-masing terhadap anak-anak sehingga berlaku pertikaian dan perkelahian yang kerap;

(g) jika didapati bahawa sebarang tuntutan oleh isteri untuk mendapatkan pembubaran perkahwinan tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah atas alasan dia tidak dapat membuktikan kebenarannya dan Mahkamah mendapati pertikaian itu masih lagi berterusan atau berulang antara suami isteri tersebut; atau

(h) apa-apa tindakan yang menyebabkan darar syarie ke atas isteri atau suami.
Pelantikan Hakam.

4. (1) Hakam boleh dilantik dari kalangan—

(a) saudara karib suami dan isteri yang memenuhi kelayakan di bawah subkaedah 8(1) dan (2);

(b) anggota Panel Hakam yang dilantik di bawah kaedah 6; atau

(c) mana-mana Pegawai Syariah atau Pegawai Hal Ehwal Islam dalam        Perkhidmatan Awam Am Persekutuan atau Negeri atau mana-mana Pegawai Majlis yang mahir dalam bidang kekeluargaan dan Hukum Syarak.

(2)Bagi maksud perenggan (1)(a), ungkapan “saudara karib” ertinya mana-mana orang lelaki yang mempunyai pertalian nasab, persemendaan atau susuan yang tahu akan hal keadaan kes itu.

Tatacara pelantikan Hakam

5. (1) Bagi maksud subkaedah 3(1), Mahkamah hendaklah mengarahkan suami dan isteri melantik Hakam bagi pihak masing-masing dari kalangan saudara karib suami dan isteri sebagaimana yang diperuntukkan di bawah perenggan 4(1)(a) dalam tempoh empat belas hari dari tarikh shiqaq diputuskan oleh Mahkamah dengan menggunakan Borang 1 Jadual Pertama.

(2) Setelah suami dan isteri melantik Hakam masing-masing, Mahkamah hendaklah merekodkan dan mengisytiharkan pelantikan itu melalui suatu perintah.

(3) Bagi maksud subkaedah 3(2), pelantikan Hakam oleh Mahkamah menurut perenggan 4(1)(b) dan (c) hendaklah dibuat dengan menggunakan Borang 2 Jadual Pertama.

Pelantikan anggota Panel Hakam

6. (1) Tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan di bawah subkaedah 8(3), Majlis boleh, atas cadangan Jawatankuasa, melantik mana-mana orang sebagai anggota Panel Hakam.

(2) Mana-mana orang yang dilantik sebagai anggota Panel Hakam hendaklah didaftarkan dalam Daftar Panel Hakam.
Penamatan pelantikan anggota Panel Hakam

7. Pelantikan seseorang anggota Panel Hakam hendaklah tamat dan dikeluarkan daripada Daftar Panel Hakam jika dia—

(a) mati;

(b) meletakkan jawatan melalui surat yang dialamatkan kepada Pengerusi Majlis, melalui Pengerusi; atau

(c) hilang upaya untuk melaksanakan tugasnya sebagai seorang Hakam.

Kelayakan seorang Hakam

8. (1) Tertakluk kepada subkaedah (2), mana-mana saudara karib suami dan isteri layak dilantik sebagai Hakam jika dia—

(a) beragama Islam;

(b) lelaki;

(c) berakal dan baligh (mukalaf);

(d) adil dan amanah; dan

(e) mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan Hukum Syarak.

(2) Mana-mana Peguam Syarie yang mewakili suami atau isteri dalam sesuatu prosiding lain di Mahkamah tidak boleh dilantik sebagai Hakam bagi suami atau isteri itu kecuali diperintahkan oleh Mahkamah.

(3) Seseorang yang hendak dilantik dan didaftarkan sebagai anggota Panel Hakam hendaklah—

(a) beragama Islam;

(b) warganegara Malaysia;

(c) lelaki;

(d) berakal dan baligh (mukalaf);

(e) adil dan amanah;

(f) berkelakuan baik dan tidak pernah disabitkan atas apa-apa kesalahan jenayah  sama ada di Malaysia atau di mana-mana tempat lain;

(g) kompeten dalam hal-hal kekeluargaan dan Hukum Syarak;

(h) tidak pernah dibatalkan pelantikannya di bawah kaedah 29;

(i) bukan seorang yang bankrap;

(j) memiliki kelulusan akademik sekurang-kurangnya di peringkat Sijil Thanawi atau yang setaraf dengannya atau yang lebih tinggi daripada mana-mana institusi pendidikan atau mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dalam bidang pengajian Islam; dan

(k) lulus dalam apa-apa proses penilaian yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.


Bahagian III
FUNGSI HAKAM

Fungsi Hakam

9. Hakam hendaklah menamatkan shiqaq antara suami dan isteri dengan cara mendamaikan atau memisahkan kedua-duanya dengan talak atau khuluk.

Tanggungjawab Hakam

10. Semasa menjalankan Majlis Tahkim, Hakam hendaklah— (a) menerima dan melaksanakan arahan Mahkamah dari semasa ke semasa; dan (b) menjelaskan tentang peraturan umum yang perlu dipatuhi oleh semua pihak sepanjang Majlis Tahkim.

Bahagian IV
TATACARA MAJLIS TAHKIM

Tatacara Majlis Tahkim

11. (1) Prosiding Majlis Tahkim hendaklah bermula selepas pelantikan Hakam dibuat.

(2) Sebelum sesuatu prosiding Majlis Tahkim bermula—

(a) Mahkamah boleh memberi arahan mengenai tatacara perjalanan Majlis Tahkim kepada Hakam dan Hakam hendaklah mematuhi arahan itu dan Hukum Syarak; dan

(b) tertakluk kepada subkaedah (3), Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing dengan menggunakan Borang 3 atau Borang 4 Jadual Pertama, mengikut mana-mana yang sesuai.

(3) Kuasa penuh daripada prinsipal kepada Hakam masing-masing adalah seperti yang berikut:

(a) bagi suami, dia boleh membenarkan Hakamnya untuk melafazkan satu talak atau khuluk di hadapan Mahkamah; dan

(b) bagi isteri, dia boleh membenarkan Hakamnya menerima lafaz khuluk di hadapan Mahkamah.

(4) Jika—

(a) Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan perceraian oleh sebab Hakam tidak mendapat kuasa penuh daripada prinsipal atau sesuatu sebab yang lain;

(b) Hakam tidak mencapai persetujuan dalam mana-mana peringkat Majlis Tahkim;

(c) Mahkamah tidak berpuas hati dengan cara mereka menjalankan Majlis Tahkim; atau

(d) mana-mana Hakam menarik diri atau enggan meneruskan tugasnya sebagai Hakam, Mahkamah boleh memecat dan membatalkan pelantikan mereka dengan menggunakan Borang 5 Jadual Pertama dan melantik Hakam lain dari kalangan anggota Panel Hakam atau mana-mana orang yang disebut dalam perenggan 4(1)

(c) dan hendaklah memberikan kuasa penuh sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subkaedah 11(2) 11(2)(b) kepada mereka dengan menggunakan Borang 6 atau Borang 7 Jadual Pertama, mengikut mana-mana yang sesuai.
Penentuan jenis-jenis perceraian oleh Hakam.

12. (1) Dalam melaksanakan Majlis Tahkim di bawah Kaedah-Kaedah ini, jika kedua-dua Hakam berpuas hati bahawa perdamaian gagal dicapai oleh kedua-dua pihak, mereka hendaklah menentukan pihak yang menjadi punca kepada berlakunya shiqaq itu.

(2)Jika shiqaq itu—

(a) didapati berpunca daripada suami atau kedua-dua suami dan isteri, kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara talak;

(b) didapati berpunca daripada isteri, kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara khuluk dan kadar ‘iwadh hendaklah diputuskan oleh Hakam;

(c) tidak dapat ditentukan puncanya dan tuntutan perceraian dibuat oleh suami, maka kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara talak; atau

(d) tidak dapat ditentukan puncanya dan tuntutan perceraian dibuat oleh isteri, maka kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara khuluk dan kadar ‘iwadh hendaklah diputuskan oleh Hakam.

Keengganan suami atau isteri hadir dalam prosiding Majlis Tahkim

13. Sekiranya suami atau isteri atau kedua-dua pihak itu enggan hadir dalam mana-mana prosiding Majlis Tahkim, keengganan itu tidaklah menyebabkan prosiding itu terhenti dan Hakam boleh membuat keputusannya.
Laporan Majlis Tahkim

14. Hakam hendaklah menyediakan laporan dengan menggunakan Borang 8 Jadual Pertama di akhir setiap Majlis Tahkim dan laporan itu hendaklah dibentangkan di hadapan Mahkamah.
Sighah talak dan khuluk

15. (1) Jika kedua-dua Hakam dalam Majlis Tahkim memutuskan supaya perkahwinan itu dibubarkan, maka talak hendaklah dilafazkan oleh Hakam suami di hadapan dan dengan kebenaran Mahkamah sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.

(2) Jika kedua-dua Hakam dalam Majlis Tahkim memutuskan supaya perkahwinan itu dibubarkan secara khuluk dan ‘iwadh telah disempurnakan oleh isteri dalam Majlis Tahkim, maka khuluk hendaklah dilafazkan di hadapan dan dengan kebenaran Mahkamah.

(3) Lafaz ijab dan qabul bagi khuluk adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.

(4) Lafaz talak Hakam ialah talak ba-in.

Tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim

16. (1) Tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim hendaklah tidak melebihi tiga puluh hari dari tarikh perintah pelantikan dan perisytiharan Hakam yang dikeluarkan oleh Mahkamah.

(2) Mahkamah boleh melanjutkan tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim jika difikirkan patut, tetapi pelanjutan tersebut hendaklah tidak melebihi tempoh enam puluh hari dari tarikh pelanjutan diberi.
Pemberhentian prosiding Majlis Tahkim

17. Mana-mana prosiding Majlis Tahkim hendaklah terhenti, jika—

(a) suami atau isteri itu mati;

(b) suami atau isteri tidak sempurna akal;

(c) Hakam menarik diri sebagai Hakam dengan menggunakan Borang 9 Jadual Pertama; atau

(d) wujud sebab lain yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.

Keputusan Majlis Tahkim

18. Perceraian yang diputuskan dalam Majlis Tahkim adalah muktamad dan tiada rayuan dibenarkan.

Merekod lafaz talak dan mendaftar perceraian

19. Mahkamah setelah membenarkan satu talak dilafazkan di hadapannya hendaklah merekodkan lafaz satu talak itu, dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

Kehadiran Peguam Syarie dan pihak lain

20. Melainkan jika dia adalah anggota keluarga terdekat pihak itu, maka tiada pihak lain atau Peguam Syarie boleh dibenarkan hadir atau mewakili mana-mana pihak di hadapan Hakam.


Bahagian V
JAWATANKUASA HAKAM

Penubuhan Jawatankuasa

21. Majlis hendaklah menubuhkan suatu jawatankuasa yang dikenali Jawatankuasa Hakam.

Keanggotaan Jawatankuasa

22. (1) Jawatankuasa hendaklah terdiri daripada—

(a) Ketua Hakim Syarie, sebagai Pengerusi;

(b) seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, sebagai Timbalan Pengerusi;

(c) Penasihat Undang-Undang Negeri atau wakilnya;

(d) Penasihat Undang-Undang Majlis atau wakilnya;

(e) seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah;

(f) Ketua Pendaftar, Nikah, Cerai Dan Rujuk Negeri atau wakilnya; dan (g) tiga orang yang berkemahiran dalam Hukum Syarak yang dilantik oleh Majlis.

(2) Anggota-anggota Jawatankuasa di bawah perenggan (1)(b) dan (e) hendaklah dilantik oleh Ketua Hakim Syarie.

(3)Anggotayang dilantik di bawah perenggan 1(g) hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun dan layak dilantik semula.

(4) Semua anggota Jawatankuasa yang disebut di bawah subkaedah (1) hendaklah beragama Islam.

(5) Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah menjadi Setiausaha Jawatankuasa.

Mesyuarat Jawatankuasa

23. (1) Pengerusi Jawatankuasa hendaklah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa dan jika Pengerusi tidak hadir, Timbalan Pengerusi hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

(2) Lima orang anggota Jawatankuasa hendaklah membentuk kuorum mesyuarat.

(3) Keputusan mesyuarat Jawatankuasa hendaklah dibuat secara bermesyuarat dan hendaklah secara sebulat suara atau mengikut majoriti ahli yang hadir.

(4) Tertakluk kepada Kaedah-Kaedah ini, Jawatankuasa boleh menetapkan tatacaranya sendiri.

Fungsi Jawatankuasa

24. Jawatankuasa hendaklah mempunyai fungsi-fungsi yang berikut:

(a) mencadangkan kepada Majlis pelantikan mana-mana orang yang berkelayakan sebagai anggota Panel Hakam;

(b) menyediakan dan menyenggara Daftar Panel Hakam;

(c) menyiasat sebarang aduan terhadap mana-mana anggota Panel Hakam;

(d) menetapkan bentuk latihan yang perlu dihadiri oleh anggota Panel Hakam; dan

(e) melaksanakan apa-apa perkara lain yang difikirkan sesuai dan perlu dari semasa ke semasa bagi maksud melaksanakan peruntukan Kaedah-Kaedah ini.


Bahagian VI
ETIKA HAKAM


Etika Hakam

25. (1) Hakam hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan Majlis Tahkim dan tidak melengah-lengahkan tanpa alasan yang munasabah serta mematuhi tatacara dan tempoh perjalanan Majlis Tahkim.

(2) Hakam hendaklah dalam menjalankan tugasnya, melaksanakan keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak.

(3) Hakam yang mengendalikan Majlis Tahkim hendaklah—

(a) tidak mengendalikan Majlis Tahkim apabila dia berada dalam keadaan tidak tenang, marah, lapar, haus, mengantuk, letih atau tidak sihat;

(b) tidak boleh meninggalkan Majlis Tahkim tanpa alasan yang munasabah;

(c) bertindak tegas, adil dan tidak dipengaruhi oleh keadaan atau orang yang hadir di hadapannya;

(d) bersifat terbuka, mesra dan sabar semasa mengendalikan Majlis Tahkim;

(e) menggalakkan pihak-pihak menyelesaikan pertelingkahan mereka dan mencapai persetujuan secara sukarela; dan

(f) memberi layanan yang sama rata kepada pihak-pihak.

(4) Hakam hendaklah—

(a) tidak bersifat berat sebelah;

(b) sentiasa berkecuali;

(c) merahsiakan segala perkara yang didedahkan dalam Majlis Tahkim kecuali apabila diarahkan oleh Mahkamah yang membicarakan kes tersebut;

(d) mengelakkan berlaku konflik kepentingan;

(e) memastikan bahawa dia mempunyai kemahiran atau kepakaran dalam perkara yang menjadi pertikaian; dan

(f) menolak permohonan menjadi saksi atau penasihat kepada pihak-pihak dalam Majlis Tahkim yang pernah dikendalikannya.

(5) Hakam tidak boleh—

(a) berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa dia telah—

      (i) membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugasnya            sebagai Hakam;

      (ii) menggunakan kedudukannya bagi faedahnya sendiri;

(b) berkelakuan dengan cara yang tidak jujur atau dengan sedemikian cara hingga memburukkan atau mencemarkan nama Mahkamah dan menjejaskan Majlis Tahkim yang dikendalikannya;

(c) membelakangkan tugas dan tanggungjawab demi kepentingan dirinya; dan

(d) melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menimbulkan syak tentang keupayaannya untuk berlaku adil dalam menjalankan tugas.


Bahagian VII
ADUAN DAN SIASATAN TERHADAP PANEL HAKAM

Kawalan Panel Hakam

26. Jawatankuasa hendaklah mempunyai kawalan terhadap Panel Hakam yang dilantik di bawah kaedah 6.

Aduan terhadap Panel Hakam

27. (1) Apa-apa aduan mengenai kelakuan mana-mana anggota Panel Hakam hendaklah dibuat secara bertulis kepada Pengerusi.

(2) Mahkamah boleh, pada bila-bila masa, merujuk kepada Pengerusi apa-apa maklumat yang menyentuh kelakuan seseorang Panel Hakam.

(3) Tiada apa-apa jua dalam Kaedah-Kaedah ini boleh dikira sebagai menghalang Jawatankuasa daripada membuat apa-apa aduan, atas usulnya sendiri, yang menyentuh kelakuan seseorang Panel Hakam.

Siasatan Jawatankuasa

28. (1) Setelah Pengerusi menerima sesuatu aduan, dia hendaklah mengarahkan Setiausaha untuk—

(a) memastikan bahawa dokumen yang berikut disampaikan kepada anggota Panel Hakam yang berkenaan secara penyampaian ke diri:

      (i) sesalinan aduan itu; dan

     (ii) suatu notis yang meminta anggota Panel Hakam yang berkenaan, dalam               tempoh empat belas hari dari tarikh penerimaan, memberi suatu                             penjelasan bertulis kepada Jawatankuasa; dan

(b) setelah tamat tempoh empat belas hari, memaklumkan kepada Jawatankuasa berhubung dengan status aduan itu.

(2) Setelah menerima aduan terhadap mana-mana Panel Hakam di bawah subkaedah 28(1) dan penjelasan bertulis, jika ada, di bawah subperenggan 28(1)(a)(ii), Jawatankuasa hendaklah menyiasat aduan itu.

(3) Jika—

(a) aduan itu berasas dan benar, Jawatankuasa hendaklah membuat syor mengenai pembatalan pelantikan kepada Majlis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah kaedah 29; atau

(b) aduan itu didapati tidak berasas Jawatankuasa boleh menolak aduan itu.

Pembatalan pelantikan

29. Majlis atas syor Jawatankuasa, boleh membatalkan pelantikan mana-mana anggota Panel Hakam dan mengeluarkan nama Hakam tersebut daripada Daftar Panel Hakam di bawah kaedah 31 jika—

(a) kelakuan anggota Panel Hakam tersebut, sama ada yang berkaitan dengan tugas-tugasnya sebagai anggota atau selainnya, merupakan kelakuan yang memburukkan nama Majlis atau Mahkamah;

(b) dia telah menjadi tidak berupaya untuk menjalankan tugas-tugasnya dengan sempurna sebagai anggota; (c) pada pendapat Jawatankuasa, dia tidak menghadiri tiga Majlis Tahkim yang dijadualkan secara berturut-turut tanpa apa-apa alasan yang munasabah;

(d) dia bertindak bertentangan dengan Etika Hakam; atau (e) dia seorang bankrap.


Bahagian VIII
AM

Tempat Majlis Tahkim

30. (1) Majlis Tahkim hendaklah dilaksanakan di Mahkamah.

(2) Majlis Tahkim boleh dibuat di tempat lain sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Hakam.

Daftar Panel Hakam

31. Setiausaha hendaklah menyenggarakan suatu rekod pendaftaran anggota Panel Hakam yang dilantik oleh Majlis dalam Daftar Panel Hakam.

Bayaran elaun Hakam

32. Majlis boleh membayar elaun kepada Panel Hakam yang dilantik di bawah kaedah 6 dan perenggan 4(1)(c) mengikut kadar sebagaimana yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga.

Rujukan kepada Hukum Syarak

33. (1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran mana-mana peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah ini yang berlawanan dengan Hukum Syarak adalah terbatal setakat yang ia berlawanan.

(2) Jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan Majlis Tahkim dan Hakam tidak diperuntukkan dengan nyata oleh Kaedah-Kaedah ini, Mahkamah hendaklah mengikut Hukum Syarak.
Sekatan

34. Mana-mana Peguam Syarie yang bertindak sebagai Hakam bagi mana-mana pihak suami atau isteri yang terlibat dalam Majlis Tahkim, tidak boleh mewakili pihak suami atau isteri itu dalam kes-kes lain yang bersangkutan dengannya di mana-mana Mahkamah.






Hakam, Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)

Arahan Amalan No. 1 Tahun 2006
Amalan Hakam Mahkamah Syariah

"Saya ingin menarik perhatian Y.A.A. kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Tahun 2006 pada 12 hingga 14 April, 2006 bersamaan 13 hingga 15 Rabiulawwal, 1427H di Shah Alam, Selangor yang telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai Amalan Hakam Mahkamah Syariah. Segala prosiding Hakam di dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam hendaklah mengguna pakai Amalan Hakam Mahkamah Syariah".

Jabatan kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengeluarkan arahan kepada semua negeri untuk mengguna pakai prosedur hakam pada tahun 2006. Ini membawa maksud, mahkamah-mahkamah syariah seluruh negara harus mengambil pendakatan proaktif mengimplimenkan sepenuhnya seksyen 48 Enakmen Keluarga Islam negeri masing-masing. Arahan ini dari Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Malaysia pada ketika itu.

Dalam Arahan Amalan ini turut menyebutkan:-

"Bersama-sama ini disertakan Amalan Hakam Mahkamah Syariah untuk tindakan bagi pemakaian di negeri-negeri".

Jesteru, Arahan Amalan ini turut disertakan manual pemakaiannya dan menjadi rujukan negeri-negeri seluruh Malaysia. Di sini disertakan kandungan Arahan Amalan tersebut.

1. Syarat-syarat seorang Hakam

(1) Hakam hendaklah terdiri daripada kalangan kaum kerabat daripada pihak suami dan pihak isteri yang pada pendapat Mahkamah mempunyai syarat-syarat atau kelayakan mengikut Hukum Syarak.

(2) Mahkamah boleh melantik orang lain yang mempunyai kelayakan mengikut Hukum Syarak.

2. Tanggungjawab Hakam

Hakam hendaklah menerima arahan Hakim bagi melaksanakan tanggungjawabnya di sisi Mahkamah antaranya seperti berikut:-

(a) setiap hakam hendaklah memanggil prinsipal masing-masing bagi memperolehi punca-punca pertikaian.

(b) kedua-dua hakam hendaklah mengadakan pertemuan dan mengenal pasti serta mencari penyelesaian secara sulh.

(c) sekiranya pihak-pihak gagal menerima penyelesaian secara sulh, hakam hendaklah berusaha memperolehi kuasa daripada prinsipal masing-masing sama ada melafazkan talaq atau secara khulu’;

(d) melaporkan kepada Mahkamah hasil siasatan tersebut, bahawa didapati tiada perdamaian atau tiada keizinan daripada prinsipal untuk penceraian dan mencadangkan kepada Mahkamah supaya melantik Hakam lain untuk diberi kuasa penceraian.

3. Sabitan Syiqaq

Mahkamah hendaklah mensabitkan syiqaq sentiasa berlaku dalam keadaan-keadaan tertentu termasuklah antaranya:-

(a) perbalahan di antara suami isteri itu kadangkala terbitnya dengan sebab nusyuz isteri, atau dengan sebab kezaliman suami, atau dengan terbit kesamaran siapa yang benar di antara kedua-duanya atau berpunca dari kedua-duanya, berdusta atau menuntut yang bukan hak;

(b) perbalahan di antara suami isteri dan sukar keduanya menjalankan aturan Allah yang ditetapkan atas suami isteri itu, tuduh menuduh mengenai masing-masing tidak melaksanakan hak-hak sebagai suami isteri;

(c) isteri atau suami menuduh di antara keduanya berkawan dengan perempuan/lelaki yang telah melampaui hukum syarak ;

(d) sering berlaku pertikaian hingga pukul memukul;

(e) salah seorang keluar dari rumah kediaman, tidak tinggal bersama sedangkan punca sebenar tidak dapat dibuktikan oleh kedua-dua belah pihak di hadapan mahkamah;

(f) tuduh menuduh di antara suami isteri mengenai anak-anak berkaitan dengan tanggungjawab masing-masing sehingga berlaku pertengkaran dan perselisihan yang berpanjangan;

(g) jika didapati bahawa aduan isteri itu tidak sabit dan ditolak Mahkamah dengan sebab ia tidak dapat membuktikan kebenarannya dan kemudian daripada itu isteri berulang-ulang membuat aduan dan Mahkamah mendapati pertikaian sentiasa berlaku di antara suami isteri tersebut,

(h) apa-apa tindakan yang menyebabkan darar syarie ke atas isteri.

4. Tatacara Pelantikan Hakam

(1) Sebelum melantik Hakam Mahkamah hendaklah -

(a) mensabitkan syiqaq sentiasa berlaku antara suami isteri di hadapannya.

(b) mengarahkan suami dan isteri mengemukakan seorang wakil dari pihak masing-masing kepada Mahkamah yang sesuai dan layak dilantik sebagai Hakam dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah dengan menggunakan Borang AH 1;

(c) setelah kedua-dua pihak mengemukakan nama-nama wakil kepada Mahkamah, hakim hendaklah melantik dan mengisytiharkan sebagai hakam bagi kedua-dua pihak. Jika pihak-pihak gagal mengemukakan wakil masing-masing, Mahkamah akan melantik seorang hakam bagi setiap pihak seperti dalam Borang AH2;

(d) jika salah satu pihak gagal mengemukakan wakil, Mahkamah mempunyai kuasa untuk melantik hakam bagi pihak yang gagal mengemukakan wakil tersebut, tertakluk kepada syarat-syarat di dalam Arahan 1.

5. Tatacara dan tempoh perjalanan penimbangtaraan

(1) Sesuatu tempoh perjalanan penimbangtaraan pada peringkat permulaan tidaklah boleh dilangsungkan lebih daripada satu bulan dari tarikh perintah perlantikan Hakam;

(2) Mahkamah boleh atas budibicaranya melanjutkan tempoh perjalanan penimbangtaraan jika difikirkan patut tidak melebihi satu bulan jika had masa yang diberikan di dalam sub Arahan (1) tidak dapat dipenuhi;

(3) Hakam peringkat ini tidak berkuasa menceraikan suami isteri kecuali dengan keizinan kedua belah pihak suami isteri tersebut;

(4) Jika Mahkamah tidak berpuas hati dengan cara salah seorang atau kedua-dua Hakam menjalankan penimbangtaraan itu, Mahkamah boleh memecat salah seorang atau kedua-dua mereka dan melantik Hakam lain sebagai ganti;

(5) Kuasa penuh daripada prinsipal mengikut subseksyen 48(5) Akta Undang-undang Keluarga Islam hendaklah diberikan kepada Hakam dengan menggunakan Borang AH3;

(6) Mahkamah hendaklah memanggil pihak-pihak ke Mahkamah pada masa, tarikh dan tempat yang ditentukan dan pada peringkat ini, Hakim boleh membenarkan Hakam melafazkan talaq atau khulu’;

(7) Jika Hakam tidak mendapat kuasa penuh daripada prinsipal mereka sepertimana sub Arahan 5, Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberi kuasa kepada Hakam menceraikan isteri itu dengan khulu’ seperti dalam borang AH 6;

(8) Mahkamah boleh membatalkan pelantikan mana-mana Hakam pada bila-bila masa sekiranya tidak berpuashati dengan cara pelaksanaan penimbangtaraan atau atas apa–apa sebab yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

(9) Mahkamah boleh atas budibicaranya melanjutkan tempoh perlaksanaan Hakam jika difikirkan patut tidak melebihi tempoh satu bulan jika had masa yang diberikan di dalam sub Arahan 2 tidak dapat dipenuhi.

6. Etika Hakam

(1) Hakam hendaklah –

(a) bersungguh-sungguh dan tidak melengah-lengahkan tanpa alasan yang munasabah menyelesaikan syiqaq dan mematuhi arahan yang dikeluarkan mahkamah;

(b) dalam menjalankan tugasnya melaksanakan keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak;

(2) Hakam tidak boleh –

(a) Berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa -

i. Dia telah membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugasnya sebagai Hakam;

ii. Dia telah menggunakan kedudukannya bagi kepentingannya sendiri atau pihak ketiga.

(b) Berkelakuan dengan cara tidak jujur atau dengan sedemikian cara hingga memburukkan atau mencemarkan nama baik Mahkamah;

(3) Jika didapati Hakam tidak mematuhi mana-mana etika tersebut di atas, Mahkamah bolehlah membatalkan perlantikannya.

7. Sighah Khul’ di hadapan Mahkamah

(1) Sighah yang dipersetujui oleh prinsipal dan dibenarkan oleh Mahkamah :-

(a) Lafaz Ijab Hakam pihak Suami hendaklah seperti berikut:
“Saya dengan kuasa yang diberi oleh (nama suami), menceraikan ( nama isteri ) dengan khul’ sebanyak ( nilai ringgit )” ;

(b) Lafaz tersebut hendaklah diqabul dengan serta- merta oleh hakam pihak isteri seperti berikut:-
“Saya terima khul’ bagi pihak (nama isteri) atas persetujuannya sebanyak ( nilai ringgit ) yang tersebut. ”

(2) Sighah yang diberi kuasa oleh Mahkamah kepada Hakam.

(a) Lafaz Hakam Bagi Pihak Suami :

“Saya dengan kuasa yang diberi oleh Mahkamah, bagi pihak (nama suami) menceraikan (nama isteri) dengan khul’ sebanyak .............(nilai ringgit)”

(b) Lafaz Hakam Bagi Pihak Isteri:

“Saya sebagai Hakam bagi pihak (nama isteri), menerima khul’ sebanyak .............(nilai ringgit) yang tersebut”

8. Kehadiran Pihak-pihak Dalam Majlis Tahkim

(1) Suami isteri hendaklah hadir dalam Majlis Tahkim jika diperlukan oleh Hakam atau dengan perintah Mahkamah.

(2) Sekiranya satu pihak atau kedua-duanya gagal hadir dalam mana-mana prosiding Majlis Tahkim setelah dipanggil oleh Hakam atau diperintahkan oleh Mahkamah, kegagalan tersebut tidaklah menyebabkan prosiding terhenti.

9. Pemberhentian Prosiding Majlis Tahkim

Prosiding Majlis Tahkim hendaklah terhenti sekiranya salah satu pihak mati atau disahkan gila atau atas sebab-sebab lain yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.


Arahan ini dikeluarkan pada 12hb April 2006 dan menjadi titik mula kepada semua negeri untuk mengwujudkan Kaedah-Kaedah Hakam negeri masing-masing.

Arahan Amalan ini ada sedikit berbeza dengan Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 dari sudut penggunaan istilah, tatacara, fee, dan lain-lain yang akan diterangkan dalam bab selanjutnya.

Hakam, takdir untuk suami.

Dari contoh bagi ketiga-tiga kes yang disebut sebelum ini, semua gambaran menunjukkan bahawa isteri memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah. Perjalanan kes mereka telah sampai kepada peringkat prosiding lantikan Hakam Peringkat Kedua.

Apabila sampai kepada Hakam Peringkat Kedua, juga setelah mereka suami isteri ini menghadiri Majlis Tahkim, keputusan akhir adalah Hakam mengsyorkan perceraian atau tebus talaq. Hakam pun melafazkan cerai atas perintah Hakim Syarie.

Dari sudut pandangan mata suami, mereka telah dianiaya oleh isteri mereka dan undang-undang pula dilihat sebagai menzalimi mereka.

Benarkah begitu?

Pada suatu tahap kritikal seperti ini, dan perceraian serta perdamaian sudah lagi mustahil dicapai, maka Hakam Syarie akan melihat sudut keadilan secara holistik antara suami dan isteri.

Apabila hal keadaaan suami atau isteri tersebut tidak boleh didamaikan lagi, atas apa juga alasan, di sinilah peranan Hakim Syarie menshabitkan syiqaq antara mereka berdua.

Hak menentukan syiqaq ini adalah hak mutlak Hakim Syarie yang mendengar kes tersebut dan bukan lagi hak menentukan hala tuju perkahwinan terletak kepada suami atau isteri.

Hanya Hakim Syarie yang mendengar kes seperti ini dapat mengetahui perbalahan antara kedua suami isteri dan hak Hakim Syarie juga menentukan nasib perkahwinan mereka itu.

Kebanyakkan kes, Hakim Syarie membuat penghakiman membenarkan Hakam melafazkan cerai, walaupun tanpa keredhaan suami adalah kerana untuk kebaikan suami tersebut.

Suami seperti contoh-contoh kes disebutkan sebelum ini berhak untuk hidup bahagia, berhak mendapatkan kasih sayang dari seorang isteri yang solehah. Jesteru, jika perceraian berlaku atas perintah Hakim Syarie, sebenarnya hak-hak suami yang disebutkan tadi dikembalikan kepada suami untuk membina kehidupannya yang baru bersama pasangan yang lain.

Secara tersiratnya, perceraian yang diperolehi oleh isteri-isteri yang disebut di dalam contoh-contoh tadi, adalah satu penghinaan buat mereka - Nauzubillahiminzalik - Semoga Allah mengampunkan kita semua.

Hakam, authoriti syarak

Di dalam surah an-Nisa ayat 35 Allah S.W.T berfirman dengan maksudnya
  
"Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untung mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-duanya "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua ( suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya".

(tafsir ar-rahman, cetakan kesepuluh)

Di dalam ayat di atas, menjadi sumber rujukan paling utama kepada umat Islam menunjukkan saranan daripada Allah S.W.T sendiri dalam menangani konflik rumahtangga. Perlantikan orang tengah yang dimaksudkan dalam ayat al-Quran di atas disebut secara "harfiah" sebagai "Hakam".

Lantikan "orang tengah" bertujuan untuk mendamaikan suami isteri yang sedang dalam pertikaian, pergaduhan dan persengketaan. Hakam di lantik dikalangan saudara dekat keluarga suami dan sudara dekat keluarga isteri. 

Allah menyebutkan secara khusus ciri Hakam yang ingin dilantik itu adalah dikalangan mereka yang benar-benar ikhlas untuk mendamaikan perhubungan suami dan isteri.

Daripada ayat ini lah yang menjadi sumber hukum yang paling utama dalam figh Munahakat bagi orang Islam yang mengharuskan lantikan Hakam seterusnya diqanunkan menjadi undang-undang bertulis di Negeri Selangor.

Maka lahirlah Kaedah-kaedah Hakam Negeri Selangor 2014 yang menjadi panduan khusus bagi orang Islam di negara ini.


Hakam, proses lantikan.

Perlantikan Hakam di Kalangan Ahli Keluarga.


Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memberikan peruntukkan khusus bagi pelantikan Hakam. Semasa perbicaraan iaitu setelah selesai peringkat Jawatankuasa Pendamai dibentuk dan gagal mendamaikan suami isteri yang bertelingkah itu, maka Hakim Syarie akan mensabitkan syiqaq dan mengarahkan untuk lantikan Hakam Peringkat Pertama.

Seksyen 48 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyebutkan:-

Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.

Ciri Hakam yang dilantik di peringkat ini haruslah di kalangan saudara-saudara yang rapat dengan suami dan isteri tersebut. Keutamaan yang penting harus dipilih di kalangan lelaki kerana Hakam mempunyai tanggungjawab yang berat dan mempunyai kuasa melafazkan talaq kepada isteri.

Secara khusus perihal lantikan hakam dengan ciri-ciri khas itu disebutkan di dalam peruntukkan Seksyen 48 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu:-

Pada melantik Hakam di bawah subseksyen (1) Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang berkenaan itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

Manakala dalam Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014, sekali lagi disebutkan secara terperinci tentang kuasa Mahkamah Syariah untuk melantik hakam ini.

Subkaedah 3 (1), Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) menyebutkan:-

Jika Mahkamah berpuas hati bahawa shiqaq sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin mengarahkan suami dan isteri melantik Hakam dari kalangan saudara karib masing-masing.

Perlantikan hakam untuk suami dan dan isteri ini mestilah mempunyai kelayakan dan ciri-ciri khas tertentu. Selain dari saudara karib terdekat, ciri-ciri khas yang lain seperti beragama Islam, seorang lelaki, sihat berakal, seorang yang dewasa, seorang yang mukallaf (boleh dipertanggungjawabkan), seorang yang dipercayai dengan adil dan amanah serta yang mempunyai pengetahuan agama yang asas khas dalam hukum hakam kekeluargaan orang Islam.

Subkaedah 8 (1) Kaedah-kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 menyebut:-


Tertakluk kepada subkaedah (2), mana-mana saudara karib suami dan isteri layak dilantik sebagai Hakam jika dia— (a) beragama Islam; (b) lelaki; (c) berakal dan baligh (mukalaf); (d) adil dan amanah; dan (e) mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan Hukum Syarak.

Pada hari yang ditetapkan oleh Mahkamah, suami dan isteri akan membawa wakil masing-masing untuk dilantik menjadi Hakam mengikut ciri-ciri khas tadi. Mahkamah akan merekodkan semua butiran peribadi wakil-wakil suami isteri ini dan berpuashati dengan kelayakkan mereka, maka Hakim Syarie akan melantik wakil-wakil ini sebagai Hakam Peringkat Pertama.

Wakil yang dilantik ini akan memulakan tanggungjawab mereka sebagai Hakam bermula pada hari tersebut dan akan menjalankan majlis tahkim dengan adil dan amanah.


Hakam, alternatif selepas kalah kes cerai.

Hakam, alternatif selepas kalah kes cerai

Siapalah yang mahukan perceraian? Itulah ungkapan yang terlahir dari semua pasangan suami isteri apabila menjejakkan kaki di pintu Mahkamah Syariah.

Hasrat yang dibina sejak melafazkan ijab dan qabul akad pernikahan biarlah berakhir di syurga dan kembali bersama hidup bahagia selama-lamanya.

Perkahwinan ini tidak ubah seperti belayar di lautan lepas. Adakalanya tenang melayari bahtera rumahtangga dan ada ketika bahtera dilambung ombak badai yang menerpa. Entah bila gelombang ombak yang menghempas, tiada siapa yang tahu.

Hari ini kelihatan bahagia senyum dan gembira dan siapa tahu esok dilanda duka dan nestapa. Namun apabila bahtera perkahwinan sudah karam di lautan, pastinya perpisahan adalah cara yang paling baik untuk difikirkan.

Pada kebanyakkan masyarakat, perceraian adalah suatu penghinaan, satu kesalahan, satu kekalahan dan mungkin juga disebut sebagai satu sumpahan. Tetapi apabila direnung kepada kata-kata Allah dalam kitab suci al-Quran di mana pedoman yang ditunjukkan kepada umat Islam menyatakan:-

"Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.” Surah al-Baqarah: 229.
Dapat kita fahami bahawa perceraian bukanlah satu yang ditegah, bukan dihukum berdosa, bahkan perceraian itulah yang menyelamatkan suami isteri daripada terus menerus melakukan dosa sesama mereka. Sekiranya perkahwinan diteruskan akan menyebabkan kemudharatan antara suami isteri, maka perceraian adalah jalan keluar dari permasalahan tersebut.

Ramai yang mengambil langkah yang bijaksana serta terhormat apabila pasangan suami isteri memutuskan untuk bercerai dengan tidak mengungkit kesalahan-kesalahan mereka. Suami isteri sebegini dilihat mempunyai jiwa yang besar dan masih saling hormat menghormati walaupun rumahtangga mereka di ambang kehancuran.

Terputusnya ikatan suami isteri dengan lafaz talaq oleh suami di dalam dewan bicara di Mahkamah Syariah dilihat lebih mulia berbanding dengan pasangan yang memilih untuk membangkitkan isu persengketaan.

Bukanlah bermaksud mereka yang dalam pertikaian suami isteri itu hina, tetapi jalan kehancuran yang mereka pilih itu akan dilalui penuh dengan cabaran onak duri kepahitan.

Dalam kebanyakkan kes perceraian, isteri yang memulakan tindakan memfailkan permohonan cerai secara fasakh atau takliq (sekadar menyebutkan beberapa contoh) akan menghadapi prosedur perbicaraan yang lengkap dan penuh.

Konsep keadilan dalam Islam menyebutkan "Siapa yang mendakwa, dia akan membuktikan" merupakan perjuangan khusus buat isteri untuk membuktikan dakwaan mereka di hadapan Hakim Syarie.

Proses pembuktian inilah yang mengambil masa yang lama, tambahan pula jika isteri tidak diwakili oleh Peguam Syarie. Proses pembuktian ini tidaklah hanya bermaksud memberikan keterangan lisan bersama sendu air mata semata-mata, tetapi perlu bersama dengan pembuktian lain seperti laporan polis, laporan perubatan hospital, gambar-gambar, rekod-rekod bertulis dan sebagainya.

Setelah itu, perlu pula didatangkan saksi-saksi untuk memberikan keterangan bagi menyokong alasan-alasan permohonan cerai isteri tadi. Ada saksi yang boleh diterima oleh mahkamah, ada saksi yang ditolak mengikut prinsip-prinsip keadilan yang sedia ada. 

Belum lagi jika disebutkan dengan dakwaan balas suami yang tentunya akan membela diri begitu begini. Sama sahaja prosesnya, keterangan suami akan diambil dan didengar secara mahkamah terbuka, kemudian bersama saksi-saksi.

Jika lihat semudah ucapan di bibir "pergilah Mahkamah Syariah minta fasakh" tetapi hakikatnya perbicaraan bagi kes permohonan cerai adalah satu perjalanan yang sulit dan melelahkan.

Situasi ini bukan isteri sahaja yang terpaksa melaluinya, tetapi suami juga. Semua mereka suami isteri ini mesti menghadapi tatacara keterangan yang dinamakan soal utama, soal balas dan soal semula dalam mahkamah semasa perbicaraan.

Hakikat perceraian bukanlah semudah membeli stem di Pejabat Pos, atau semudah mendapatkan resit jual beli tetapi lebih daripada itu.

Setelah berbulan-bulan atau mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk kes seperti ini, tiba-tiba di akhir keputusan Hakim Syarie memutuskan:-

"Plaintif gagal mengemukakan bukti dan kes ditolak"

Maka serasa pitam, hilang gelap pandangan bagi isteri yang memohon fasakh tadi. Isteri pun hiduplah dengan tangisan dan kekecewaan yang berpanjangan.

Ada ketikanya, Mahkamah Syariah juga akan dipersalahkan, kata mereka,

"Undang-undang Syariah tidak adil"
"Hakim Syarie melebihkan lelaki"
"Mahkamah Syariah menzalimi wanita"

Bahkan kadangkala terjadi tular di media sosial coretan-coretan keluhan dan caci maki yang penuh dengan umpatan fitnah dan mengeji terhadap Institusi Mahkamah Syariah ini.




Hakam, dalam proses Majlis Tahkim.

Hakam, proses keadilan bagi bagi perceraian.

Hakam, mencabar wibawa Peguam Syarie?

Peranan Peguam Syarie adalah membantu anak guam. Peranan terebut termasuklah:-

(a). Membantu anak guam menentukan kes sesuai dengan keperluan undang-undang.
(b). Membantu anakguam menyediakan dokumen lengkap sebelum pemfailan kes di mahkamah.
(c). Membantu anakguam melengkapkan pliding dokumen sesuai dengan keperluan kes dan undang-undang.
(d). Menasihati anakguam tentang banyak perkara undang-undang.
(e). Memastikan tindakan anak guam tidak menyalahi mana-mana undang-undnag yang sedang berkuatkuasa.
(f). Membantu anakguam menjalankan sebutan kes.
(e). Membantu anakguam menjalankan kes perbicaraan.
(f). Membantu anakguam dalam strategi untuk mendapatkan hak melalui undang-undang.
(g) Membantu anak guam mendapatkan hak yang sepatutnya yang diberikan oleh undang-undang.

Ini adalah sebahagian kecil peranan Peguam Syarie untuk membantu anakguam mereka. Banyak lagi yang tidak disebutkan di sini yang melibatkan kepentingan mahkamah sendiri dan usaha mereka mendaulatkan undang-undang.

Dalam kes perceraian, Peguam Syarie akan bertindak untuk membantu membuat tuntutan mahupun pembelaan. Kes-kes perceraian mempunyai peruntukkan yang berbeza-beza, mengikut jenis perceraian, fakta, isu dan sebagainya.

Dalam kes yang melibatkan Hakam, apabila setelah Hakim Syarie mensabitkan syiqaq antara suami dan isteri, maka sebenarnya bermulalah  tugasan besar dan peranan yang berat untuk Peguam Syarie.

1. Menentukan Hakam yang berkelayakkan sebelum diluluskan oleh Hakim Syarie.

Pada lantikan Hakam Peringkat Pertama, Peguam Syarie akan menentukan terlebih dahulu wakil yang dicadangkan oleh anakguam untuk dilantik sebagai hakam. Peguam Syarie akan memastikan calon tersebut memenuhi kehendak Kaedah-kaedah Hakam sebagaimana yang diperuntukkan.

Setelah itu, Peguam Syarie akan mencadangkan kepada Hakim Syarie di dalam mahkamah terbuka dan memohon supaya diluluskan.

2. Menentukan Majlis Tahkim berjalan dengan adil dan sepatutnya mengikut Kaedah-kaedah Hakam.

Majlis Tahkim dijalankan oleh para Hakam yang dilantik tanpa kehadiran Peguam Syarie. Peguam Syarie tidak boleh berada secara langsung semasa Majlis Tahkim dikendalikan. Semua perbincangan antara para Hakam dan suami isteri adalah sulit dan rahsia.

Di sini lah Peguam Syarie tidak dapat membantu anakguam mereka untuk menasihati tentang apa yang dibincangkan. Bagi Peguam Syarie yang mewakili pihak isteri tidak lah terasa kesanya yang besar tetapi sebaliknya Peguam Syarie bagi pihak suami yang akan menghadapi kesulitan.

Sekiranya pada akhir majlis tahkim, para Hakam mengsyorkan perceraian, maka Peguam Syarie pihak suami tidak dapat membuat apa-apa lagi melainkan tepaksa bersetuju dengan laporan tersebut.

Kebanyakkan keadaan ini menimbulkan rasa kurang puas hati suami terhadap Peguam Syarie mereka kerana pada pendapat mereka Peguam Syarie mereka yang telah dilantik dilihat gagal mencapat matlamat dan hasrat peribadinya.

Tentunya dalam keadaan ini Peguam Syarie yang mewakili suami merasa tercabar kewibawaannya.

Hakikat sebenarnya Peguam Syarie telah menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah selaras dengan kehendak undang-undang khususnya dalam Kaedah-Kaedah Hakam.







Hakam, tidak adil pada suami?

Pada keseluruhan kes-kes perceraian yang melibatkan perlantikan Hakam, penyelesaian akhir adalah lafaz cerai oleh Hakam kepada isteri. Adakalanya mengikut pertimbangan Hakam, perceraian disyorkan dengan tebus talaq dan pemberian iwadh.

Ada beberapa kes yang pernah berlaku, suami telah memohon rayuan semakan kehakiman atas perlantikan Hakan, mahupun rayuan semakan kehakiman terhadap perjalanan proses lantikan Hakam atau rayuan semakan kehakiman atas majlis tahkim itu sendiri. Rayuan untuk semakan kehakiman adalah dibenarkan di dalam Kaedah Hakam Negeri Selangor.

Walaupun rayuan semakan kehakiman di buat di Mahkamah Tinggi Syariah iaitu pada peringkat mahkamah yang lebih tinggi, kesan ikatan undang-undang pada suami tidak berubah.

Kesan yang paling ketara hanya perubahan jangka masa kes yang mungkin akan mengambil masa yang lebih panjang. Suami dan isteri akan mendapatkan keputusan rayuan semakan kehakiman terlebih dahulu sebelum proses hakam berjalan seperti biasa.

Antara kemungkinan keputusan dari rayuan semakan kehakiman itu adalah:-

i. Hakam yang dilantik dipecat.
ii. Mahkamah Tinggi Syariah mengarahkan untuk lantikan Hakam yang baru.
iii. Mahkamah Tinggi Syariah mencadangkan Hakim Bicara yang baru.
iv. Mahkamah Tinggi Syariah mengarahkan Majlis Tahkim dibuat semula.

Jika suami beranggapan bahawa tindakannya membuat tindakan rayuan semakan kehakiman bertujuan untuk mengenaepikan permohonan cerai isteri, itu adalah tindakan yang sia-sia.

Jesteru, di sinilah antara perkara yang menyebabkan ketidakpuasan hati suami. Seolah-oleh proses hakam telah mengikat kaki tangan mereka, bahkan seolah menutup mulut mereka untuk mempertahankan rumahtangga yang dibina.

Persoalannya di sini ialah, di manakah keadilannya kepada suami?

Sebelum menjawab persoalan ini, marilah kita faham dulu maksud keadilan sebenar. Keadilan itu bermaksud meletakkan sesuatu yang hak kepada yang berhak.

Dalam kontek ini, keadilan sebenar bukan lagi seperti gambaran suami atau isteri. Keadilan sebenar telah diletakkan atas tanggungjawab Hakim Syarie dan Hakim Syarie sahaja yang berhak memutuskan dan menentukan serta mengadilinya.

Sebagai contoh kes-kes yang seolah-olah tidak adil pada suami ialah,

Contoh Pertama

Seorang isteri memfailkan perceraian di bawah seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Suami telah tidak bersetuju dengan permohonan isteri ini dan berhasrat untuk mempertahankan perkahwinan yang dibina selama ini. Sedangkan isteri tersebut adalah isteri yang derhaka, bermain kayu tiga, tidak amanah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan sebagainya.

Contoh Kedua

Isteri memfailkan perceraian di bawah seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Isteri mengemukakan alasan tidak ada persefahaman antara suami isteri lagi. Hakikat sebenarnya isteri tersebut malu dengan keadaan suami yang dulunya kaya raya, hidup senang tetapi sekarang telah jatuh miskin papa kedana. Isteri tidak dapat lagi hidup bermewah-mewah kerana sekarang mempunyai suami yang sengkek.

Contoh Ketiga

Isteri memfailkan perceraian atas kehendak keluarganya. Maka permohonan dibuat melalui seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu dengan tindakan Fasakh. Hakikatnya alasan fasakh tersebut diada-adakan dan mahkamah menjalankan bicara. Pada akhir peringkat bicara, keputusan Hakim Syarie membuat penghakiman bahawa kes isteri kalah. Seterusnya Hakim menshabitkan siqaq dan terus kepada prosiding Hakam yang pada akhirnya Hakam melafazkan cerai terhadap isteri.



Hakam, polimik yang menjadi isu?

Setelah diperkenalkan Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 dan dikuatkuasanya pemakaiannya bagi orang Islam khusus bagi orang pemastautinan dalam negeri Selangor, telah banyak isu desas desus yang berbangkit.

Proses keadilan syariah yang diperkenalkan ini menjadi topik perbualan hangat di kalangan pengamal undang-undang, para petubuhan NGO, ahli akedamik dan orang awam sendiri.

Oleh kerana negeri Selangor yang memperkenalkan Kaedah-Kaedah Hakam ini secara sistematik, banyak mata yang memerhati dan mengambil tindakan tunggu dan lihat hasil keberkesanannya.

Tambahan pula, undang-undang berkaitan hal ehwal agama Islam serta kekeluargaan Islam terletak di bawah bidangkuasa negeri, maka negeri-negeri lain segera ini mengetahui sejauhmana konsep Hakam yang dipaktikkan ini berjaya di dalam sistem keadilan syariah sedia ada.

Isu Pertama

Kenapa perlunya Prosedur Hakam, sedangkan alternatif perceraian lain seperti fasakh, takliq, tebus talaq telah ada diperuntukkan dengan jelas dalam undang-undang Keluarga Islam?

Persoalan yang menjadi isu ini dibangkitkan di kalangan pegamal undang-undang mahupun diperingkat Mahkamah Syariah sendiri.

Perkembangan undang-undang sebenarnya dilihat berkembang sejak dahulu lagi. Zaman sebelum merdeka, undang-undang Islam terkenal dengan Kanun Syariah Melaka dan negeri-negeri lain juga. Tetapi perkembangan ini dilihat sangat perlahan di zaman penjajahan sehinggalah pada tahun 1988 di mana kuasa Mahkamah Syariah diasingkan dengan Pejabat Agama.

Pindaan Perlembagaan Malaysia dalam Artikel 121 (1) A juga dilihat sebagai asbab bagaimana Mahkamah Syariah dapat kuasa penuhnya dan diiktiraf sebagai satu institusi Kehakiman yang sama taraf dengan mahkamah awam yang lain.

Sejak itu, sikit demi sikit perkembangan undang-undang syariah dilihat berkembang dengan sihat dari segi perjawatan dan prinsip-prinsip perundangan syariah diterima oleh orang Islam.

Sebagai contoh beberapa perkembangan prinsip keadilan syariah ini diperkenalkan ialah sulh, kensep perbicaraan adveserial, penyelesaian pertikaian secara alternatif, mediasi, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dan banyak lagi. Ini semua adalah prinsip keadilan yang baru yang diperkenalkan setelah berlaku pengasingan kuasa Mahkamah Syariah,

Semua konsep keadilan syariah yang diperkenalkan ini telah menghadapi mehnah dan cabaran yang sama.

Dari tahun ke setahun, setiap kelemahan dikenalpasti dan tidakan untuk penambahbaikan dibuat, dibincangkan, dimuzakarahkan, di buat perbincangan secara terbuka dan tertutup di semua peringkat lapisan pihak yang berkenaan dan berkepentingan.

Kini semua konsep baru keadilan yang disebut tadi telah menjadi sebahagian daripada proses keadilan yang jitu, seiring dengan perkembangan sosio budaya masyarakat dan menyumbang kepada kemajuan ketemadunan.

Begitu juga dengan proses Hakam ini, kebanyakkan negeri di Malaysia masih belum mempunyai Kaedah-Kaedah Hakam masing-masing, tetapi usaha ke arah itu telah dimulakan sejak kebelakangan ini.

Sehingga kini, muzakarah berkaitan hakam masih menjadi topik yang mendapat tempat dalam lingkungan pengamal undang-undang dan usaha penambahbaikan pasti dibuat dari masa kesemasa.

Hakam, cabaran semasa.

Hakam, perkembangan undang-undang di Malaysia

Penutup

Hukum percerian di dalam Islam terbahagi kepada lima yang utama iaitu:-

i. Wajib
ii. Haram
iii. Sunat
iv. Makruh
v. Harus

Pada keseluruhan perbincangan dalam kontek Hakam Proses Keadilan Baru di Mahkamah Syariah berkisar tentang hukum wajib cerai.

Antara asbab yang menghukumkan wajib cerai itu terdiri alasan seperti berikut:-

a) Jika perbalahan suami isteri tidak dapat didamaikan lagi.
b) Dua orang wakil (Hakam) daripada pihak suami dan isteri gagal membuat kata sepakat untuk perdamaian rumahtangga mereka.
c) Apabila pihak Hakim Syarie berpendapat bahawa talak adalah lebih baik.
d) Jika tidak diceraikan keadaan sedemikian, maka berdosalah suami.


Alasan-alasan seperti yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa suami tidak lagi diberi keutamaan untuk menentukan halatuju perkahwinan dan tidak lagi mempunyai kuasa ekslusif talaq yang diiktiraf hukum syarak.

sambung......

Hakam, Contoh Kes 3, Alasan Penghakiman

Hakam, Contoh Kes 2, Alasan Penghakiman

Contoh kes 2.

Contoh kes ini adalah kes sebenar yang berlaku di Mahkamah Syariah Selangor bagi tujuan penjelasan dan menunjukkan perjalanan kes ini sehingga selesai. Nama, nombor kad pengenalan, serta alamat telah diubah dan diberi nama samaran.


Contoh kes ini menunjukkan permohonan cerai oleh isteri yang tidak dipersetujui oleh suami. Suami isteri dalam kes ini melalui peringkat Jawatankuasa Pendamai, dan lantikan Hakam Peringkat Kedua. Hakam-hakam telah menjalankan siasatan dan mendapati punca syiqaq adalah daripada suami dan mencadangkan perceraian. Hakim Syarie menerima syor Hakam ini dan mengarahkan Hakam Suami melafazkan cerai terhadap isteri.



DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH DI SELANGOR

NO KES MAL: 100XX-055-XXX-2018

DI ANTARA


PLANTIF                                                                 SURIA BINTI SHAM
                                                                                         (NO.K/P: 666666-10-6666)

DAN

DEFENDAN                                                                 ABDUL SUDIN BIN DIN
                                                                                        (NO.K/P: 555555-10-5555)

1. Plaintif dalam kes ini telah memfailkan kes permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Selangor pada 30hb Mac 2016. Alasan permohonan cerai Plaintif di dalam Pernyataan Tuntutannya disebutkan oleh Plaintif sendiri iaitu:-

(a) Saya khuatir tidak dapat menjalankan kewajipan sebagai seorang isteri dan tidak dapat menunaikan hak suami dengan baik kerana tiada lagi persefahaman dan kasih ssayang antara kami;

(b) Mengalami tekanan emosi yang teruk, suami seolah-olah mengganggap saya sebagai seorang pekerja, memalukan saya depan anak-anak;

(c) Suka membandingkan saya dengan wanita lain dan tidak menghargai saya sebagai isteri.


2. Saman dan Pernyataan Plaintif telah disampaikan kepada Defendan pada 14hb April 2016 semasa kehadiran Plaintif dan Defendan. Defendan tidak bersetuju dengan permohonan perceraian Plaintif. Mahkamah mengarahkan Plaintif dan Defendan membawa wakil masing-masing untuk dilantik sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai.

3. Pada 9hb Jun 2016, Plaintif telah membawa wakilnya iaitu Sham Bin Jinan (NO.K/P: 555555-10-5555) yang merupakan ayah kepada Plaintif. Manakala Defendan membawa wakil Ibnor Bin Hasan (No.K/P: 555555-10-5555) yang merupakan bapa saudara Defendan sendiri. Mahkamah telah melantik wakil-wakil yang di bawa oleh Plaintif dan Defendan sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai. Jawatankuasa pendamai akan bersidang di Pejabat Agama Daerah dan dipengerusikan oleh seorang Pegawai hal Ehwal Agama Islam. Laporan Jawatankuasa Pendamai hendaklah diberikan kepada Mahkamah.

4. Pada 16hb Ogos 2016, Jawatankuasa Pendamai telah bersidang dengan kehadiran Plaintif dan Defendan bersama wakil-wakil mereka. Perbincangan dibuat bersama seorang Pengerusi Jawatankuasa Pendamai. Laporan Jawatankuasa Pendamai direkodkan seperti di bawah:-

"Tuan Pengerusi menyatakan segala keputusan akan diserahkan kepada pihak mahkamah. Hasil perbincangan juga telah memanggil wakil Plaintif dan wakil Defendan. Kedua-dua pihak hadir. Hasil perbincangan, telah didapati perdamaian gagal dicapai memandangkan Plaintif berkeras untuk meneruskan perceraian".

5. Pada 15hb September 2016, Hakim Syarie telah mensabitkan syiqaq antara Plaintif dan Defendan. Plaintif dan Defendan memohon kepada mahkamah supaya terus kepada prosiding seterusnya iaitu lantikan Hakam Peringkat Kedua. Plaintif dan Defendan berhujah bahawa tidak praktikal lagi dengan lantikan Hakam Peringkat Pertama kerana mereka tiada lagi wakil yang boleh dan layak untuk dilantik sebagai Hakam Peringkat Pertama. Hakim Syarie meluluskan permohonan Plaintif dan Defendan dan menetapkan tarikh pada 13hb Oktober 2016 untuk lantikan Hakam Peringkat Kedua iaitu Hakam Lantikan daripada panel Majlis Agama Islam Selangor.

6. Pada 13hb Oktober 2016, panel Hakam telah hadir dan diberikan kuasa penuh oleh Mahkamah untuk menjalankan Majlis Tahkim. Majlis Tahkim dijalankan bersama Plaintif dan Defendan selama hampir 1 jam dan bersidang semula di hadapan Hakim Syarie untuk membentangkan Laporan Majlis Tahkim.

7. Laporan Majlis Tahkim menyebutkan :-

"(a) Punca syiqiq adalah apabila suami dan isteri telah tidak duduk bersama bermula dari bulan November 2015 sehingga sekarang.
(b) Tiada unsur mawaddah wa rahmah dalam perkahwinan menyebabkan pihak-pihak sentiasa memendam perasaan marah.
(c) Isteri telah tawar hati dan tidak dapat mentaati perintah suami, sekiranya perkawinan ini diteruskan dan syiqaq yang berteruskan akan berlaku.

Kami (Hakam suami dan Hakam isteri),

dapat mencapai persetujuan dalam Majlis Tahkim ini, berpendapat punca syiqaq adalah daripada suami, dan berpendapat suami isteri patut bercerai secara talaq".

8. Dengan laporan yang dibentangkan oleh Hakam ini, Hakim Syarie mengarahkan Hakam Suami melafazkan cerai terhadap isteri.

9. Hakim Syarie membuat keputusan seperti berikut:-

(a) Mahkamah mensabitkan jatuh talaq satu terhadap Plaintif pada 13hb Oktober 2016.

(b) Mahkamah mengarahkan Plaintif berinddah tiga kali suci.

(c) Mahkamah merekodkan perceraian ini adalah Bain Sughro.

(d) Mahkamah memerintahkan perceraian ini hendaklah didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah dan Sijil Nikah asal dibatalkan.






Hakam, contoh kes 1 Alasan Penghakiman

Contoh kes 1.

Contoh kes ini adalah kes sebenar yang berlaku di Mahkamah Syariah Selangor bagi tujuan penjelasan dan menunjukkan perjalanan kes ini sehingga selesai. Nama, nombor kad pengenalan, serta alamat telah diubah dan diberi nama samaran.

Contih kes ini menunjukkan situasi di mana suami tidak memberikan sebarang kerjasama dalam permohonan cerai isteri. Dalam kebanyakkan masa isteri berusaha mendapatkan perceraian tanpa dipedulikan oleh suami.

Pada akhirnya isteri memperolehi perceraian dengan menggunakan prosedur Hakam tanpa melalui perbicaraan yang panjang. Isteri juga tidak perlu mengemukakan sebarang bukti atau saksi dalam semua urusan perceraian ini.


DALAM MAHKAMAH RENDAH SYARIAH SELANGOR

No. Kes Mal : 100xx-055-xxxx-2018

Di antara

Plaintif                                         Sahwati Binti Mohd Surip
                                                     (No.K/P: 777777-10-7777)

Dan


Defendan                             Azizan Bin Marzan
                                                        (No. K/P: 777777-10-7777)


1. Plaintif telah memfailkan kes permohonan peceraian di bawah peruntukkan seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Plaintif telah memfailkan Saman dan Pernyataan Tuntutan pada 19hb Mac 2018.

2. Defendan telah terima saman tersebut pada 15hb Jun 2018 tetapi Defendan enggan menurunkan tandatangan pengerimaan saman Plaintif tersebut.

3. Pada 25hb Jun 2018, mahkamah menetapkan kes pendengaran, tetapi Defendan tidak hadir dan tidak memberikan kerjasama. Hakim Syarie meneruskan prosiding dengan menubuhkan Jawatankuasa Pendamai. Plaintif dan Defendan hendaklah membawa wakil masing-masing untuk dilantik sebagai Jawatankuasa Pendamai pada tarikh 31hb Julai 2018. Notis peringatan di keluarkan kepada Defendan kerana Defendan tidak hadir.

4. Pada 31hb Julai 2018, Plaintif hadir bersama wakilnya Mohd Azri Bin Mohd Surip (No.K/P: 888888-10-8888) iaitu adik Plantif. Manakala Defendan tidak hadir dan tidak membawa wakil. Mahkamah telah melantik wakil Plaintif dan mengarahkan menubuhkan Jawatankuasa Pendamai.

5. Jawatankuasa Pendamai telah bersidang di Pejabat Agama Daerah dan dipengerusikan oleh seorang Pegawai Hal Ehwal Agama pada 8hb Oktober 2018. Defendan tidak hadir dan tiada wakil Defendan. 

6. Laporan bertulis dihantar kepada Mahkamah dan sidang pendengaran ditetapkan pada 16hb Oktober 2018. Pada ketika ini Plaintif hadir dan Defendan tidak hadir.

7. Mahkamah mendapati Defendan tidak memberikan kerjasama yang baik dan Mahkamah mensabitkan syiqaq antara Plaintif dan Defendan berdasarkan Laporan Jawatankuasa Pendamai. Mahkamah telah mendapati bahawa tidak praktikal lagi untuk melantik Hakam Peringkat Pertama kerana Defendan tidak pernah hadir ke Mahkamah dan memberikan kerjasama. Mahkamah terus membuat keputusan untuk melantik Hakam Peringkat Kedua iaitu Hakam Panel dari Majlis Agama Islam. Notis dikeluarkan kepada Defendan.

8. Pada 12hb November 2018, Hakam-hakam untuk Plaintif dan Defendan hadir. Mahkamah membuatkan lantikan dengan kuasa penuh kepada Hakam-hakam untuk menjalankan Majlis Tahkim pada hari yang sama.

9. Hakam-hakam bersidang semula di hadapan Hakim Syarie dan membentangkan Laporan secara lisan dan bertulis dan mencadangkan perceraian secara talaq ke atas Plaintif.

10. Hakim Syarie mendapati majlis tahkim telah dibuat dengan aturan yang betul dan memeluluskan cadangan dan syor dari Hakam. Mahkamah memerintahkan Hakam melafazkan cerai talaq terhadap Pantif.

11. Keputusan Mahkamah

(a) Mahkamah mensabitkan jatuh talaq satu ke atas Plantif pada 12hb November 2018.

(b) Mahkamah memerintahkan Plantif beriddah tiga kali suci.

(c) Mahkamah merekodkan perceraian ini adalah secara Bain Sughro.

(d) Mahkamah memerintahkan supaya perceraian ini didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah dan Sijil Nikah Asal Plaintif dan Defendan dibatalkan.




Status suami ketika lantikan hakam

Status suami ketika lantikan hakam.


Kaedah-kaedah Hakam Negeri Selangor diwartakan dan dikuatkuasakan pada tahun 2014.
Pada ketika itu, hanya di Negeri Selangor yang mewujudkan kaedah ini dan menjadi polemik di kalangan Pengamal Undang-undang dan orang Ramai.
Apabila status sqiqaq antara suami isteri direkodkan oleh mahkamah syariah, maka lantikan hakam peringkat pertama dibuat.
Pada ketika ini, status suami yang memegang hak melafazkan talaq telah hilang. Suami tidak lagi dibenarkan untuk melafazkan talaq dan tidak lagi mempunyai kuasa mempertahankan hak eksklusif talaq tersebut.
Perkara ini menjadi hal yang kurang senang di kalangan Peguam Syarie bahkan banyak di kalangan lelaki tidak bersetuju dengan undang-undang ini.
Oleh kerana di negara kita tiada Kementerian Lelaki mahupun NGO pro lelaki, maka hal ini tidak banyak diketengahkan, dibahas atau dibincangkan.
Para suami terpaksa akur dengan keputusan hakam yang akan menentukan hala tuju perkahwinan mereka dan terpaksa akur jika hakam melafazkan cerai terhadap isteri-isteri mereka.

Hakam Peringkat Kedua

Apabila Hakam peringkat pertama gagal, mahkamah akan meneruskan prosiding seterusnya dengan lantikan hakam peringkat kedua.

Hakam peringkat kedua ini adalah terdiri daripada pihak yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Selangor.

Buat masa ini, ada 30 lebih orang hakam yang dilantik setelah melalui tapisan kelayakkan dan temuduga khas. Mereka mempunyai pengetahuan agama Islam yang baik, dan pengetahuan undang-undang keluarga islam Negeri Selangor.

Setelah hakam peringkat pertama gagal untuk menyelesaikan pertikaian suami isteri, mahkamah melantik Hakam Peringkat Kedua ini dengan kuasa penuh.

Maksud kuasa penuh ini adalah, mahkamah sendiri melantik mereka dan memberikan kuasa kepada mereka untuk membuat keputusan mengikut kaedah yang dibenarkan.

Pada ketika ini, pihak suami mahupun isteri tidak mempunya kuasa untuk membuat keputusan melainkan kuasa hakam yang akan menentukan hala tuju perkahwinan mereka.

Seperti proses hakam peringkat pertama juga, Hakam Peringkat Kedua atau lebih dikenali sebagai Hakam Panel Mais, akan menjalankan Majlis Tahkim bersama pasangan suami isteri.

Majlis tahkim ini kebiasaanya dijalankan dengan menggunakan fasiliti mahkamah dan akan membentangkan laporan hakam pada hari yang sama.

Walaubagaimanapun, Kaedah Hakam membenarkan majlis tahkim dibuat dalam masa 30 hari.

Laporan hakam akan dibentang di hadapan Hakim Syarie dengan tiga cadangan penyelesaian iaitu

1. Pihak suami isteri dicadangkan bercerai dengan talaq.

2. Pihak dicadangkan bercerai dengan iwadh dan tebus talak.

3. Pihak suami dan isteri mengambil keputusan berbaik semula.

Hakam Peringkat Pertama

Setelah sabitan syiqaq dibuat oleh Mahkamah Syariah, maka pembentukan Hakam Pertama akan dibuat.

Suami dan isteri, masing-masing akan menghadirkan seorang ahli keluarga lelaki Islam untuk dicadangkan menjadi Hakam bagi mewakili mereka.

Pada peringkat ini, hakam akan bertindak untuk menyelesaikan masalah suami isteri dan mencuba sedaya usaha mereka mendamaikan pertelingkahan yang berlaku. Hakam peringkat pertama ini juga akan berusaha untuk mendapatkan kuasa prinsiple dari suami dan isteri ini untuk menyerahkan kuasa talaq. Hakam Peringkat Pertama ini juga dikenali sebagai Hakam Islah.

Apabila telah dilantik oleh mahkamah, hakam akan menjalankan majlis tahkim bersama suami dan isteri tersebut mengikut kaedah-kaedah dan panduan yang betul. Kebiasannya majlis tahkim akan dibuat di mahkamah dengan menggunakan fasiliti mahkamah itu sendiri pada hari yang sama.

Walaubagaimanapun, undang-undang membenarkan majlis tahkim dibuat di mana-mana tempat yang sesuai dan praktikal. Tempoh dibenarkan adalah selama 30 hari. Hakam boleh memanjangkan tempoh lagi 30 hari untuk menjalankan majlis tahkim.

Apabila selesai majlis tahkim, hakam akan menyediakan laporan samada lisan atau bertulis untuk dibentangkan di hadapan Hakim Syarie.

Sekiranya hakam berjaya menyelesaikan masalah suami isteri, maka kes akan selesai.

Sekiranya hakam tidak berjaya menyelesaikan masalah suami isteri, Hakim Syarie akan mengarahkan Hakam melafazkan cerai terhadap isteri.

Tetapi dalam kebanyakkan kes yang berlaku, hakam tidak sanggup melafazkan cerai terhadap isteri, maka Hakim Syarie akan membatalkan perlantikan hakam mereka dan meneruskan prosiding Hakam Peringkat Kedua.