Hakam, berbeza dengan Jawatankuasa Pendamai (JKP)

Amaran


Amaran


1. Ebook ini adalah hak sepenuhnya penulis www.hakammahkamahsyariah.blogspot.com

2. Semua kandungan di dalam ebook ini tidak boleh diubah, disalin cetak, diedarkan, dijual, digunakan dengan tujuan komersial,  melainkan mendapatkan kebenaran bertulis dari penulis.

3. Semua kandungan di dalam ebook ini, petikan, perenggan, halaman jika diambil dengan tujuan yang sah, hendaklah diberikan kredit atas nama Penulis.

4. Semua tindakan jenayah atau tindakan salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang berkaitan dengan kandungan ebook ini adalah tidak ada kena mengena dengan Penulis dan tidak boleh dilibatkan penulis dengan sebarang tindakan undang-undang.

5. Penulis tidak bertanggungjawab atas sebarang salah faham, salah tindakan mana-mana pihak dalam semua kandungan ebook ini.

6. Sebarang aduan yang melibatkan kandungan ebook ini hendaklah melalui email penulis harryazharizal@gmail.com

7. Penulis merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas sokongan anda.


Hakam, seksyen 48 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003


Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003

Peruntukkan Seksyen 48 menyebutkan:-

Timbangtara oleh Hakam

48. (1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa perkelahian (shiqaq) sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah boleh melantik, mengikut Hukum Syarak, dua orang penimbangtara atau Hakam untuk bertindak bagi pihak suami dan isteri yang berkenaan itu masing-masing.

(2) Pada melantik Hakam di bawah subseksyen (1) Mahkamah hendaklah, jika boleh, memberi keutamaan kepada saudara-saudara karib pihak-pihak yang berkenaan itu yang tahu akan hal keadaan kes itu.

(3) Mahkamah boleh memberi arahan-arahan kepada Hakam tentang hal menjalankan penimbangtaraan dan mereka hendaklah menjalankannya mengikut arahan-arahan itu dan Hukum Syarak.

(4) Jika Hakam tidak dapat bersetuju, atau jika Mahkamah tidak puas hati dengan cara mereka menjalankan penimbangtaraan itu, Mahkamah boleh memecat mereka dan melantik Hakam lain bagi menggantikan mereka.

(5) Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing dan boleh, jika kuasa mereka membenarkan, melafazkan satu talaq di hadapan Mahkamah jika dibenarkan sedemikian oleh Mahkamah, dan jika demikian halnya, Mahkamah hendaklah merekodkan lafaz satu talaq itu, dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.\

(6) Jika Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan penceraian oleh kerana sesuatu sebab, Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberi kepada mereka kuasa untuk memerintahkan perceraian dan hendaklah, jika mereka berbuat demikian, merekodkan perintah itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

(7) Melainkan jika dia adalah anggota keluarga terdekat pihak itu, maka tiada seorang pun atau Peguam Syarie boleh dibenarkan hadir atau mewakili mana-mana pihak di hadapan Hakam.

Hakam, Warta Kerajaan Negeri Selangor 2016.


NEGERI SELANGOR

Warta Kerajaan

DITERBITKAN DENGAN KUASA
GOVERNMENT OF SELANGOR GAZETTE

--------------------------------------------------------------------------------
            Jil. 67                             8hb Mei 2014             TAMBAHAN No. 5
            No. 10                                                                  PERUNDANGAN
--------------------------------------------------------------------------------

ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM
(NEGERI SELANGOR) 2003
Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014

SUSUNAN KAEDAH


Bahagian I
PERMULAAN




Kaedah

1. Nama dan permulaan kuat kuasa
2. Tafsiran

Bahagian II
PELANTIKAN HAKAM


3. Kuasa Mahkamah
4. Pelantikan Hakam
5. Tatacara pelantikan Hakam
6. Pelantikan anggota Panel Hakam
7. Penamatan pelantikan anggota Panel Hakam
8. Kelayakan seorang Hakam

Bahagian III
FUNGSI HAKAM

9.  Fungsi Hakam
10.Tanggungjawab Hakam

Bahagian IV
TATACARA MAJLIS TAHKIM

11. Tatacara Majlis Tahkim
12. Penentuan jenis perceraian oleh Hakam
13. Keengganan suami atau isteri hadir dalam prosiding Majlis Tahkim
14. Laporan Majlis Tahkim
15. Sighah talak dan khuluk
16. Tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim
17. Pemberhentian prosiding Majlis Tahkim
18. Keputusan Majlis Tahkim
19. Merekod lafaz talak dan mendaftar perceraian
20. Kehadiran Peguam Syarie dan pihak lain

Bahagian V
JAWATANKUASA HAKAM


21. Penubuhan Jawatankuasa
22. Keanggotaan Jawatankuasa
23. Mesyuarat Jawatankuasa
24. Fungsi Jawatankuasa


Bahagian VI
ETIKA HAKAM


25. Etika Hakam

Bahagian VII
ADUAN DAN SIASATAN TERHADAP PANEL HAKAM


26. Kawalan Panel Hakam
27. Aduan terhadap Panel Hakam
28. Siasatan Jawatankuasa
29. Pembatalan pelantikan


Bahagian VIII
AM

30. Tempat Majlis Tahkim
31. Daftar Panel Hakam
32. Bayaran elaun Hakam
33. Rujukan kepada Hukum Syarak
34. Sekatan







ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM
(NEGERI SELANGOR) 2003
Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014

Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 48 dan perenggan 135(3)(i), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 2/2003], Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Majlis, membuat kaedah-kaedah yang berikut:


Bahagian I
PERMULAAN

Nama dan permulaan kuat kuasa

1. (1) Kaedah-kaedah ini bolehlah dinamakan Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri         Selangor) 2014.
 
    (2) Kaedah-Kaedah ini disifatkan telah mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2013.
    Tafsiran

2. Dalam Kaedah-Kaedah ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna        yang lain—

“Daftar Panel Hakam” ertinya suatu bentuk daftar bagi merekodkan senarai anggota Panel Hakam sebagaimana yang disebut di bawah kaedah 31;

“darar syarie” ertinya bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh Hukum Syarak;

“Enakmen Pentadbiran” ertinya Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 1/2003];

“Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam” ertinya Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 2/2003];

“Hakam” ertinya seseorang penimbang tara yang diberi kuasa oleh pihak-pihak atau oleh Mahkamah untuk menyelesaikan perkelahian (shiqaq) antara suami dan isteri;

“Hukum Syarak” ertinya Hukum Syarak mengikut Mazhab Shafie atau mengikut mana-mana satu Mazhab Maliki, Hanafi, atau Hanbali; “‘iwadh” ertinya apa-apa bayaran atau nilaian yang digunakan sebagai tebus talak oleh isteri kepada suami bagi perceraian secara khuluk;

“Jawatankuasa” ertinya Jawatankuasa Hakam yang ditubuhkan di bawah kaedah 21;97 Sel. P.U. 5.

“Ketua Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan termasuklah Pendaftar dan Penolong Pendaftar;

“khuluk” ertinya perceraian antara suami dan isteri dengan ‘iwadh;

“Mahkamah” ertinya Mahkamah Rendah Syariah atau Mahkamah Tinggi Syariah, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang ditubuhkan di bawah subseksyen 55(1) atau 55(2) Enakmen Pentadbiran;

“Majlis” ertinya Majlis Agama Islam Selangor yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4(1) Enakmen Pentadbiran;

“Majlis Tahkim” ertinya sesi timbang tara atau proses penyelesaian perkelahian (shiqaq) yang melibatkan pertemuan suami dan isteri bersama dengan Hakam untuk tujuan perdamaian atau perceraian dengan lafaz talak atau dengan khuluk;

“Panel Hakam” ertinya suatu panel Hakam yang dilantik oleh Jawatankuasa di bawah kaedah 6;

“Peguam Syarie” ertinya seseorang yang diterima sebagai Peguam Syarie di bawah seksyen 80 Enakmen Pentadbiran;

“Pendaftar” ertinya Ketua Pendaftar, Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam yang dilantik di bawah seksyen 28 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam dan termasuklah Penolong Pendaftar;

“Pengerusi” ertinya Pengerusi Jawatankuasa Hakam di bawah perenggan 22(1)(a);

“prinsipal” ertinya suami atau isteri yang melantik Hakam masing-masing di bawah Kaedah-Kaedah ini;

“Setiausaha” ertinya Setiausaha Jawatankuasa Hakam di bawah subkaedah 22(5);

“shiqaq” ertinya perkelahian antara suami dan isteri yang berlarutan yang menjejaskan kerukunan rumah tangga.

Bahagian II
PELANTIKAN HAKAM

Kuasa Mahkamah

3. (1) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa shiqaq sentiasa berlaku antara pihak-pihak kepada suatu perkahwinan, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin mengarahkan suami dan isteri melantik Hakam dari kalangan saudara karib masing-masing.

(2) Jika suami dan isteri atau salah satu pihak gagal mengemukakan Hakam masing-masing, Mahkamah hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin melantik seorang Hakam dari kalangan anggota Panel Hakam atau mana-mana orang yang disebut dalam perenggan 4(1)(c) bagi pihak-pihak itu.

(3) Sebelum melantik Hakam, Mahkamah hendaklah memutuskan bahawa shiqaq telah berlaku antara suami dan isteri setelah Mahkamah menjalankan siasatan.

(4) Mahkamah hendaklah memutuskan bahawa shiqaq sentiasa berlaku dalam keadaan tertentu termasuklah—

(a) perkelahian yang kerap antara suami dan isteri itu sama ada oleh sebab—

(i)   nusyuz isteri;
(ii)  kezaliman suami;
(iii) ketidaktentuan siapa yang benar antara kedua-duanya; atau
(iv) salah satu pihak atau kedua-dua pihak berdusta atau menuntut yang bukan             hak.

(b) perkelahian yang kerap antara suami dan isteri sehingga menimbulkan kesukaran menjalankan tanggungjawab masing-masing dan saling tuduh menuduh tidak melaksanakan hak sebagai suami dan isteri;

(c) suami atau isteri saling tuduh-menuduh antara keduanya mempunyai hubungan yang melampaui Hukum Syarak dengan perempuan atau lelaki lain;

(d) perkelahian yang kerap hingga menyebabkan pukul-memukul;

(e) salah seorang meninggalkan rumah kediaman, tidak tinggal bersama sedangkan punca sebenar tidak dapat dibuktikan oleh kedua-dua pihak di hadapan Mahkamah;

(f) suami atau isteri saling tuduh-menuduh antara keduanya mengenai tanggungjawab masing-masing terhadap anak-anak sehingga berlaku pertikaian dan perkelahian yang kerap;

(g) jika didapati bahawa sebarang tuntutan oleh isteri untuk mendapatkan pembubaran perkahwinan tidak sabit dan ditolak oleh Mahkamah atas alasan dia tidak dapat membuktikan kebenarannya dan Mahkamah mendapati pertikaian itu masih lagi berterusan atau berulang antara suami isteri tersebut; atau

(h) apa-apa tindakan yang menyebabkan darar syarie ke atas isteri atau suami.
Pelantikan Hakam.

4. (1) Hakam boleh dilantik dari kalangan—

(a) saudara karib suami dan isteri yang memenuhi kelayakan di bawah subkaedah 8(1) dan (2);

(b) anggota Panel Hakam yang dilantik di bawah kaedah 6; atau

(c) mana-mana Pegawai Syariah atau Pegawai Hal Ehwal Islam dalam        Perkhidmatan Awam Am Persekutuan atau Negeri atau mana-mana Pegawai Majlis yang mahir dalam bidang kekeluargaan dan Hukum Syarak.

(2)Bagi maksud perenggan (1)(a), ungkapan “saudara karib” ertinya mana-mana orang lelaki yang mempunyai pertalian nasab, persemendaan atau susuan yang tahu akan hal keadaan kes itu.

Tatacara pelantikan Hakam

5. (1) Bagi maksud subkaedah 3(1), Mahkamah hendaklah mengarahkan suami dan isteri melantik Hakam bagi pihak masing-masing dari kalangan saudara karib suami dan isteri sebagaimana yang diperuntukkan di bawah perenggan 4(1)(a) dalam tempoh empat belas hari dari tarikh shiqaq diputuskan oleh Mahkamah dengan menggunakan Borang 1 Jadual Pertama.

(2) Setelah suami dan isteri melantik Hakam masing-masing, Mahkamah hendaklah merekodkan dan mengisytiharkan pelantikan itu melalui suatu perintah.

(3) Bagi maksud subkaedah 3(2), pelantikan Hakam oleh Mahkamah menurut perenggan 4(1)(b) dan (c) hendaklah dibuat dengan menggunakan Borang 2 Jadual Pertama.

Pelantikan anggota Panel Hakam

6. (1) Tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan di bawah subkaedah 8(3), Majlis boleh, atas cadangan Jawatankuasa, melantik mana-mana orang sebagai anggota Panel Hakam.

(2) Mana-mana orang yang dilantik sebagai anggota Panel Hakam hendaklah didaftarkan dalam Daftar Panel Hakam.
Penamatan pelantikan anggota Panel Hakam

7. Pelantikan seseorang anggota Panel Hakam hendaklah tamat dan dikeluarkan daripada Daftar Panel Hakam jika dia—

(a) mati;

(b) meletakkan jawatan melalui surat yang dialamatkan kepada Pengerusi Majlis, melalui Pengerusi; atau

(c) hilang upaya untuk melaksanakan tugasnya sebagai seorang Hakam.

Kelayakan seorang Hakam

8. (1) Tertakluk kepada subkaedah (2), mana-mana saudara karib suami dan isteri layak dilantik sebagai Hakam jika dia—

(a) beragama Islam;

(b) lelaki;

(c) berakal dan baligh (mukalaf);

(d) adil dan amanah; dan

(e) mempunyai pengetahuan asas dalam hal kekeluargaan dan Hukum Syarak.

(2) Mana-mana Peguam Syarie yang mewakili suami atau isteri dalam sesuatu prosiding lain di Mahkamah tidak boleh dilantik sebagai Hakam bagi suami atau isteri itu kecuali diperintahkan oleh Mahkamah.

(3) Seseorang yang hendak dilantik dan didaftarkan sebagai anggota Panel Hakam hendaklah—

(a) beragama Islam;

(b) warganegara Malaysia;

(c) lelaki;

(d) berakal dan baligh (mukalaf);

(e) adil dan amanah;

(f) berkelakuan baik dan tidak pernah disabitkan atas apa-apa kesalahan jenayah  sama ada di Malaysia atau di mana-mana tempat lain;

(g) kompeten dalam hal-hal kekeluargaan dan Hukum Syarak;

(h) tidak pernah dibatalkan pelantikannya di bawah kaedah 29;

(i) bukan seorang yang bankrap;

(j) memiliki kelulusan akademik sekurang-kurangnya di peringkat Sijil Thanawi atau yang setaraf dengannya atau yang lebih tinggi daripada mana-mana institusi pendidikan atau mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dalam bidang pengajian Islam; dan

(k) lulus dalam apa-apa proses penilaian yang ditetapkan oleh Jawatankuasa.


Bahagian III
FUNGSI HAKAM

Fungsi Hakam

9. Hakam hendaklah menamatkan shiqaq antara suami dan isteri dengan cara mendamaikan atau memisahkan kedua-duanya dengan talak atau khuluk.

Tanggungjawab Hakam

10. Semasa menjalankan Majlis Tahkim, Hakam hendaklah— (a) menerima dan melaksanakan arahan Mahkamah dari semasa ke semasa; dan (b) menjelaskan tentang peraturan umum yang perlu dipatuhi oleh semua pihak sepanjang Majlis Tahkim.

Bahagian IV
TATACARA MAJLIS TAHKIM

Tatacara Majlis Tahkim

11. (1) Prosiding Majlis Tahkim hendaklah bermula selepas pelantikan Hakam dibuat.

(2) Sebelum sesuatu prosiding Majlis Tahkim bermula—

(a) Mahkamah boleh memberi arahan mengenai tatacara perjalanan Majlis Tahkim kepada Hakam dan Hakam hendaklah mematuhi arahan itu dan Hukum Syarak; dan

(b) tertakluk kepada subkaedah (3), Hakam hendaklah berusaha untuk mendapatkan kuasa penuh daripada prinsipal mereka masing-masing dengan menggunakan Borang 3 atau Borang 4 Jadual Pertama, mengikut mana-mana yang sesuai.

(3) Kuasa penuh daripada prinsipal kepada Hakam masing-masing adalah seperti yang berikut:

(a) bagi suami, dia boleh membenarkan Hakamnya untuk melafazkan satu talak atau khuluk di hadapan Mahkamah; dan

(b) bagi isteri, dia boleh membenarkan Hakamnya menerima lafaz khuluk di hadapan Mahkamah.

(4) Jika—

(a) Hakam berpendapat bahawa pihak-pihak itu patut bercerai tetapi tidak dapat memerintahkan perceraian oleh sebab Hakam tidak mendapat kuasa penuh daripada prinsipal atau sesuatu sebab yang lain;

(b) Hakam tidak mencapai persetujuan dalam mana-mana peringkat Majlis Tahkim;

(c) Mahkamah tidak berpuas hati dengan cara mereka menjalankan Majlis Tahkim; atau

(d) mana-mana Hakam menarik diri atau enggan meneruskan tugasnya sebagai Hakam, Mahkamah boleh memecat dan membatalkan pelantikan mereka dengan menggunakan Borang 5 Jadual Pertama dan melantik Hakam lain dari kalangan anggota Panel Hakam atau mana-mana orang yang disebut dalam perenggan 4(1)

(c) dan hendaklah memberikan kuasa penuh sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subkaedah 11(2) 11(2)(b) kepada mereka dengan menggunakan Borang 6 atau Borang 7 Jadual Pertama, mengikut mana-mana yang sesuai.
Penentuan jenis-jenis perceraian oleh Hakam.

12. (1) Dalam melaksanakan Majlis Tahkim di bawah Kaedah-Kaedah ini, jika kedua-dua Hakam berpuas hati bahawa perdamaian gagal dicapai oleh kedua-dua pihak, mereka hendaklah menentukan pihak yang menjadi punca kepada berlakunya shiqaq itu.

(2)Jika shiqaq itu—

(a) didapati berpunca daripada suami atau kedua-dua suami dan isteri, kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara talak;

(b) didapati berpunca daripada isteri, kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara khuluk dan kadar ‘iwadh hendaklah diputuskan oleh Hakam;

(c) tidak dapat ditentukan puncanya dan tuntutan perceraian dibuat oleh suami, maka kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara talak; atau

(d) tidak dapat ditentukan puncanya dan tuntutan perceraian dibuat oleh isteri, maka kedua-dua Hakam hendaklah mencadangkan perceraian secara khuluk dan kadar ‘iwadh hendaklah diputuskan oleh Hakam.

Keengganan suami atau isteri hadir dalam prosiding Majlis Tahkim

13. Sekiranya suami atau isteri atau kedua-dua pihak itu enggan hadir dalam mana-mana prosiding Majlis Tahkim, keengganan itu tidaklah menyebabkan prosiding itu terhenti dan Hakam boleh membuat keputusannya.
Laporan Majlis Tahkim

14. Hakam hendaklah menyediakan laporan dengan menggunakan Borang 8 Jadual Pertama di akhir setiap Majlis Tahkim dan laporan itu hendaklah dibentangkan di hadapan Mahkamah.
Sighah talak dan khuluk

15. (1) Jika kedua-dua Hakam dalam Majlis Tahkim memutuskan supaya perkahwinan itu dibubarkan, maka talak hendaklah dilafazkan oleh Hakam suami di hadapan dan dengan kebenaran Mahkamah sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.

(2) Jika kedua-dua Hakam dalam Majlis Tahkim memutuskan supaya perkahwinan itu dibubarkan secara khuluk dan ‘iwadh telah disempurnakan oleh isteri dalam Majlis Tahkim, maka khuluk hendaklah dilafazkan di hadapan dan dengan kebenaran Mahkamah.

(3) Lafaz ijab dan qabul bagi khuluk adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.

(4) Lafaz talak Hakam ialah talak ba-in.

Tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim

16. (1) Tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim hendaklah tidak melebihi tiga puluh hari dari tarikh perintah pelantikan dan perisytiharan Hakam yang dikeluarkan oleh Mahkamah.

(2) Mahkamah boleh melanjutkan tempoh pelaksanaan Majlis Tahkim jika difikirkan patut, tetapi pelanjutan tersebut hendaklah tidak melebihi tempoh enam puluh hari dari tarikh pelanjutan diberi.
Pemberhentian prosiding Majlis Tahkim

17. Mana-mana prosiding Majlis Tahkim hendaklah terhenti, jika—

(a) suami atau isteri itu mati;

(b) suami atau isteri tidak sempurna akal;

(c) Hakam menarik diri sebagai Hakam dengan menggunakan Borang 9 Jadual Pertama; atau

(d) wujud sebab lain yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.

Keputusan Majlis Tahkim

18. Perceraian yang diputuskan dalam Majlis Tahkim adalah muktamad dan tiada rayuan dibenarkan.

Merekod lafaz talak dan mendaftar perceraian

19. Mahkamah setelah membenarkan satu talak dilafazkan di hadapannya hendaklah merekodkan lafaz satu talak itu, dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan.

Kehadiran Peguam Syarie dan pihak lain

20. Melainkan jika dia adalah anggota keluarga terdekat pihak itu, maka tiada pihak lain atau Peguam Syarie boleh dibenarkan hadir atau mewakili mana-mana pihak di hadapan Hakam.


Bahagian V
JAWATANKUASA HAKAM

Penubuhan Jawatankuasa

21. Majlis hendaklah menubuhkan suatu jawatankuasa yang dikenali Jawatankuasa Hakam.

Keanggotaan Jawatankuasa

22. (1) Jawatankuasa hendaklah terdiri daripada—

(a) Ketua Hakim Syarie, sebagai Pengerusi;

(b) seorang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, sebagai Timbalan Pengerusi;

(c) Penasihat Undang-Undang Negeri atau wakilnya;

(d) Penasihat Undang-Undang Majlis atau wakilnya;

(e) seorang Hakim Mahkamah Rendah Syariah;

(f) Ketua Pendaftar, Nikah, Cerai Dan Rujuk Negeri atau wakilnya; dan (g) tiga orang yang berkemahiran dalam Hukum Syarak yang dilantik oleh Majlis.

(2) Anggota-anggota Jawatankuasa di bawah perenggan (1)(b) dan (e) hendaklah dilantik oleh Ketua Hakim Syarie.

(3)Anggotayang dilantik di bawah perenggan 1(g) hendaklah memegang jawatan selama tempoh dua tahun dan layak dilantik semula.

(4) Semua anggota Jawatankuasa yang disebut di bawah subkaedah (1) hendaklah beragama Islam.

(5) Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah menjadi Setiausaha Jawatankuasa.

Mesyuarat Jawatankuasa

23. (1) Pengerusi Jawatankuasa hendaklah mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa dan jika Pengerusi tidak hadir, Timbalan Pengerusi hendaklah mempengerusikan mesyuarat itu.

(2) Lima orang anggota Jawatankuasa hendaklah membentuk kuorum mesyuarat.

(3) Keputusan mesyuarat Jawatankuasa hendaklah dibuat secara bermesyuarat dan hendaklah secara sebulat suara atau mengikut majoriti ahli yang hadir.

(4) Tertakluk kepada Kaedah-Kaedah ini, Jawatankuasa boleh menetapkan tatacaranya sendiri.

Fungsi Jawatankuasa

24. Jawatankuasa hendaklah mempunyai fungsi-fungsi yang berikut:

(a) mencadangkan kepada Majlis pelantikan mana-mana orang yang berkelayakan sebagai anggota Panel Hakam;

(b) menyediakan dan menyenggara Daftar Panel Hakam;

(c) menyiasat sebarang aduan terhadap mana-mana anggota Panel Hakam;

(d) menetapkan bentuk latihan yang perlu dihadiri oleh anggota Panel Hakam; dan

(e) melaksanakan apa-apa perkara lain yang difikirkan sesuai dan perlu dari semasa ke semasa bagi maksud melaksanakan peruntukan Kaedah-Kaedah ini.


Bahagian VI
ETIKA HAKAM


Etika Hakam

25. (1) Hakam hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan Majlis Tahkim dan tidak melengah-lengahkan tanpa alasan yang munasabah serta mematuhi tatacara dan tempoh perjalanan Majlis Tahkim.

(2) Hakam hendaklah dalam menjalankan tugasnya, melaksanakan keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak.

(3) Hakam yang mengendalikan Majlis Tahkim hendaklah—

(a) tidak mengendalikan Majlis Tahkim apabila dia berada dalam keadaan tidak tenang, marah, lapar, haus, mengantuk, letih atau tidak sihat;

(b) tidak boleh meninggalkan Majlis Tahkim tanpa alasan yang munasabah;

(c) bertindak tegas, adil dan tidak dipengaruhi oleh keadaan atau orang yang hadir di hadapannya;

(d) bersifat terbuka, mesra dan sabar semasa mengendalikan Majlis Tahkim;

(e) menggalakkan pihak-pihak menyelesaikan pertelingkahan mereka dan mencapai persetujuan secara sukarela; dan

(f) memberi layanan yang sama rata kepada pihak-pihak.

(4) Hakam hendaklah—

(a) tidak bersifat berat sebelah;

(b) sentiasa berkecuali;

(c) merahsiakan segala perkara yang didedahkan dalam Majlis Tahkim kecuali apabila diarahkan oleh Mahkamah yang membicarakan kes tersebut;

(d) mengelakkan berlaku konflik kepentingan;

(e) memastikan bahawa dia mempunyai kemahiran atau kepakaran dalam perkara yang menjadi pertikaian; dan

(f) menolak permohonan menjadi saksi atau penasihat kepada pihak-pihak dalam Majlis Tahkim yang pernah dikendalikannya.

(5) Hakam tidak boleh—

(a) berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa dia telah—

      (i) membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugasnya            sebagai Hakam;

      (ii) menggunakan kedudukannya bagi faedahnya sendiri;

(b) berkelakuan dengan cara yang tidak jujur atau dengan sedemikian cara hingga memburukkan atau mencemarkan nama Mahkamah dan menjejaskan Majlis Tahkim yang dikendalikannya;

(c) membelakangkan tugas dan tanggungjawab demi kepentingan dirinya; dan

(d) melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menimbulkan syak tentang keupayaannya untuk berlaku adil dalam menjalankan tugas.


Bahagian VII
ADUAN DAN SIASATAN TERHADAP PANEL HAKAM

Kawalan Panel Hakam

26. Jawatankuasa hendaklah mempunyai kawalan terhadap Panel Hakam yang dilantik di bawah kaedah 6.

Aduan terhadap Panel Hakam

27. (1) Apa-apa aduan mengenai kelakuan mana-mana anggota Panel Hakam hendaklah dibuat secara bertulis kepada Pengerusi.

(2) Mahkamah boleh, pada bila-bila masa, merujuk kepada Pengerusi apa-apa maklumat yang menyentuh kelakuan seseorang Panel Hakam.

(3) Tiada apa-apa jua dalam Kaedah-Kaedah ini boleh dikira sebagai menghalang Jawatankuasa daripada membuat apa-apa aduan, atas usulnya sendiri, yang menyentuh kelakuan seseorang Panel Hakam.

Siasatan Jawatankuasa

28. (1) Setelah Pengerusi menerima sesuatu aduan, dia hendaklah mengarahkan Setiausaha untuk—

(a) memastikan bahawa dokumen yang berikut disampaikan kepada anggota Panel Hakam yang berkenaan secara penyampaian ke diri:

      (i) sesalinan aduan itu; dan

     (ii) suatu notis yang meminta anggota Panel Hakam yang berkenaan, dalam               tempoh empat belas hari dari tarikh penerimaan, memberi suatu                             penjelasan bertulis kepada Jawatankuasa; dan

(b) setelah tamat tempoh empat belas hari, memaklumkan kepada Jawatankuasa berhubung dengan status aduan itu.

(2) Setelah menerima aduan terhadap mana-mana Panel Hakam di bawah subkaedah 28(1) dan penjelasan bertulis, jika ada, di bawah subperenggan 28(1)(a)(ii), Jawatankuasa hendaklah menyiasat aduan itu.

(3) Jika—

(a) aduan itu berasas dan benar, Jawatankuasa hendaklah membuat syor mengenai pembatalan pelantikan kepada Majlis sebagaimana yang diperuntukkan di bawah kaedah 29; atau

(b) aduan itu didapati tidak berasas Jawatankuasa boleh menolak aduan itu.

Pembatalan pelantikan

29. Majlis atas syor Jawatankuasa, boleh membatalkan pelantikan mana-mana anggota Panel Hakam dan mengeluarkan nama Hakam tersebut daripada Daftar Panel Hakam di bawah kaedah 31 jika—

(a) kelakuan anggota Panel Hakam tersebut, sama ada yang berkaitan dengan tugas-tugasnya sebagai anggota atau selainnya, merupakan kelakuan yang memburukkan nama Majlis atau Mahkamah;

(b) dia telah menjadi tidak berupaya untuk menjalankan tugas-tugasnya dengan sempurna sebagai anggota; (c) pada pendapat Jawatankuasa, dia tidak menghadiri tiga Majlis Tahkim yang dijadualkan secara berturut-turut tanpa apa-apa alasan yang munasabah;

(d) dia bertindak bertentangan dengan Etika Hakam; atau (e) dia seorang bankrap.


Bahagian VIII
AM

Tempat Majlis Tahkim

30. (1) Majlis Tahkim hendaklah dilaksanakan di Mahkamah.

(2) Majlis Tahkim boleh dibuat di tempat lain sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Hakam.

Daftar Panel Hakam

31. Setiausaha hendaklah menyenggarakan suatu rekod pendaftaran anggota Panel Hakam yang dilantik oleh Majlis dalam Daftar Panel Hakam.

Bayaran elaun Hakam

32. Majlis boleh membayar elaun kepada Panel Hakam yang dilantik di bawah kaedah 6 dan perenggan 4(1)(c) mengikut kadar sebagaimana yang ditetapkan dalam Jadual Ketiga.

Rujukan kepada Hukum Syarak

33. (1) Mana-mana peruntukan atau tafsiran mana-mana peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah ini yang berlawanan dengan Hukum Syarak adalah terbatal setakat yang ia berlawanan.

(2) Jika terdapat lakuna atau jika apa-apa perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan Majlis Tahkim dan Hakam tidak diperuntukkan dengan nyata oleh Kaedah-Kaedah ini, Mahkamah hendaklah mengikut Hukum Syarak.
Sekatan

34. Mana-mana Peguam Syarie yang bertindak sebagai Hakam bagi mana-mana pihak suami atau isteri yang terlibat dalam Majlis Tahkim, tidak boleh mewakili pihak suami atau isteri itu dalam kes-kes lain yang bersangkutan dengannya di mana-mana Mahkamah.






Hakam, Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)

Arahan Amalan No. 1 Tahun 2006
Amalan Hakam Mahkamah Syariah

"Saya ingin menarik perhatian Y.A.A. kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Tahun 2006 pada 12 hingga 14 April, 2006 bersamaan 13 hingga 15 Rabiulawwal, 1427H di Shah Alam, Selangor yang telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai Amalan Hakam Mahkamah Syariah. Segala prosiding Hakam di dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam hendaklah mengguna pakai Amalan Hakam Mahkamah Syariah".

Jabatan kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengeluarkan arahan kepada semua negeri untuk mengguna pakai prosedur hakam pada tahun 2006. Ini membawa maksud, mahkamah-mahkamah syariah seluruh negara harus mengambil pendakatan proaktif mengimplimenkan sepenuhnya seksyen 48 Enakmen Keluarga Islam negeri masing-masing. Arahan ini dari Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Malaysia pada ketika itu.

Dalam Arahan Amalan ini turut menyebutkan:-

"Bersama-sama ini disertakan Amalan Hakam Mahkamah Syariah untuk tindakan bagi pemakaian di negeri-negeri".

Jesteru, Arahan Amalan ini turut disertakan manual pemakaiannya dan menjadi rujukan negeri-negeri seluruh Malaysia. Di sini disertakan kandungan Arahan Amalan tersebut.

1. Syarat-syarat seorang Hakam

(1) Hakam hendaklah terdiri daripada kalangan kaum kerabat daripada pihak suami dan pihak isteri yang pada pendapat Mahkamah mempunyai syarat-syarat atau kelayakan mengikut Hukum Syarak.

(2) Mahkamah boleh melantik orang lain yang mempunyai kelayakan mengikut Hukum Syarak.

2. Tanggungjawab Hakam

Hakam hendaklah menerima arahan Hakim bagi melaksanakan tanggungjawabnya di sisi Mahkamah antaranya seperti berikut:-

(a) setiap hakam hendaklah memanggil prinsipal masing-masing bagi memperolehi punca-punca pertikaian.

(b) kedua-dua hakam hendaklah mengadakan pertemuan dan mengenal pasti serta mencari penyelesaian secara sulh.

(c) sekiranya pihak-pihak gagal menerima penyelesaian secara sulh, hakam hendaklah berusaha memperolehi kuasa daripada prinsipal masing-masing sama ada melafazkan talaq atau secara khulu’;

(d) melaporkan kepada Mahkamah hasil siasatan tersebut, bahawa didapati tiada perdamaian atau tiada keizinan daripada prinsipal untuk penceraian dan mencadangkan kepada Mahkamah supaya melantik Hakam lain untuk diberi kuasa penceraian.

3. Sabitan Syiqaq

Mahkamah hendaklah mensabitkan syiqaq sentiasa berlaku dalam keadaan-keadaan tertentu termasuklah antaranya:-

(a) perbalahan di antara suami isteri itu kadangkala terbitnya dengan sebab nusyuz isteri, atau dengan sebab kezaliman suami, atau dengan terbit kesamaran siapa yang benar di antara kedua-duanya atau berpunca dari kedua-duanya, berdusta atau menuntut yang bukan hak;

(b) perbalahan di antara suami isteri dan sukar keduanya menjalankan aturan Allah yang ditetapkan atas suami isteri itu, tuduh menuduh mengenai masing-masing tidak melaksanakan hak-hak sebagai suami isteri;

(c) isteri atau suami menuduh di antara keduanya berkawan dengan perempuan/lelaki yang telah melampaui hukum syarak ;

(d) sering berlaku pertikaian hingga pukul memukul;

(e) salah seorang keluar dari rumah kediaman, tidak tinggal bersama sedangkan punca sebenar tidak dapat dibuktikan oleh kedua-dua belah pihak di hadapan mahkamah;

(f) tuduh menuduh di antara suami isteri mengenai anak-anak berkaitan dengan tanggungjawab masing-masing sehingga berlaku pertengkaran dan perselisihan yang berpanjangan;

(g) jika didapati bahawa aduan isteri itu tidak sabit dan ditolak Mahkamah dengan sebab ia tidak dapat membuktikan kebenarannya dan kemudian daripada itu isteri berulang-ulang membuat aduan dan Mahkamah mendapati pertikaian sentiasa berlaku di antara suami isteri tersebut,

(h) apa-apa tindakan yang menyebabkan darar syarie ke atas isteri.

4. Tatacara Pelantikan Hakam

(1) Sebelum melantik Hakam Mahkamah hendaklah -

(a) mensabitkan syiqaq sentiasa berlaku antara suami isteri di hadapannya.

(b) mengarahkan suami dan isteri mengemukakan seorang wakil dari pihak masing-masing kepada Mahkamah yang sesuai dan layak dilantik sebagai Hakam dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah dengan menggunakan Borang AH 1;

(c) setelah kedua-dua pihak mengemukakan nama-nama wakil kepada Mahkamah, hakim hendaklah melantik dan mengisytiharkan sebagai hakam bagi kedua-dua pihak. Jika pihak-pihak gagal mengemukakan wakil masing-masing, Mahkamah akan melantik seorang hakam bagi setiap pihak seperti dalam Borang AH2;

(d) jika salah satu pihak gagal mengemukakan wakil, Mahkamah mempunyai kuasa untuk melantik hakam bagi pihak yang gagal mengemukakan wakil tersebut, tertakluk kepada syarat-syarat di dalam Arahan 1.

5. Tatacara dan tempoh perjalanan penimbangtaraan

(1) Sesuatu tempoh perjalanan penimbangtaraan pada peringkat permulaan tidaklah boleh dilangsungkan lebih daripada satu bulan dari tarikh perintah perlantikan Hakam;

(2) Mahkamah boleh atas budibicaranya melanjutkan tempoh perjalanan penimbangtaraan jika difikirkan patut tidak melebihi satu bulan jika had masa yang diberikan di dalam sub Arahan (1) tidak dapat dipenuhi;

(3) Hakam peringkat ini tidak berkuasa menceraikan suami isteri kecuali dengan keizinan kedua belah pihak suami isteri tersebut;

(4) Jika Mahkamah tidak berpuas hati dengan cara salah seorang atau kedua-dua Hakam menjalankan penimbangtaraan itu, Mahkamah boleh memecat salah seorang atau kedua-dua mereka dan melantik Hakam lain sebagai ganti;

(5) Kuasa penuh daripada prinsipal mengikut subseksyen 48(5) Akta Undang-undang Keluarga Islam hendaklah diberikan kepada Hakam dengan menggunakan Borang AH3;

(6) Mahkamah hendaklah memanggil pihak-pihak ke Mahkamah pada masa, tarikh dan tempat yang ditentukan dan pada peringkat ini, Hakim boleh membenarkan Hakam melafazkan talaq atau khulu’;

(7) Jika Hakam tidak mendapat kuasa penuh daripada prinsipal mereka sepertimana sub Arahan 5, Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberi kuasa kepada Hakam menceraikan isteri itu dengan khulu’ seperti dalam borang AH 6;

(8) Mahkamah boleh membatalkan pelantikan mana-mana Hakam pada bila-bila masa sekiranya tidak berpuashati dengan cara pelaksanaan penimbangtaraan atau atas apa–apa sebab yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

(9) Mahkamah boleh atas budibicaranya melanjutkan tempoh perlaksanaan Hakam jika difikirkan patut tidak melebihi tempoh satu bulan jika had masa yang diberikan di dalam sub Arahan 2 tidak dapat dipenuhi.

6. Etika Hakam

(1) Hakam hendaklah –

(a) bersungguh-sungguh dan tidak melengah-lengahkan tanpa alasan yang munasabah menyelesaikan syiqaq dan mematuhi arahan yang dikeluarkan mahkamah;

(b) dalam menjalankan tugasnya melaksanakan keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak;

(2) Hakam tidak boleh –

(a) Berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa -

i. Dia telah membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugasnya sebagai Hakam;

ii. Dia telah menggunakan kedudukannya bagi kepentingannya sendiri atau pihak ketiga.

(b) Berkelakuan dengan cara tidak jujur atau dengan sedemikian cara hingga memburukkan atau mencemarkan nama baik Mahkamah;

(3) Jika didapati Hakam tidak mematuhi mana-mana etika tersebut di atas, Mahkamah bolehlah membatalkan perlantikannya.

7. Sighah Khul’ di hadapan Mahkamah

(1) Sighah yang dipersetujui oleh prinsipal dan dibenarkan oleh Mahkamah :-

(a) Lafaz Ijab Hakam pihak Suami hendaklah seperti berikut:
“Saya dengan kuasa yang diberi oleh (nama suami), menceraikan ( nama isteri ) dengan khul’ sebanyak ( nilai ringgit )” ;

(b) Lafaz tersebut hendaklah diqabul dengan serta- merta oleh hakam pihak isteri seperti berikut:-
“Saya terima khul’ bagi pihak (nama isteri) atas persetujuannya sebanyak ( nilai ringgit ) yang tersebut. ”

(2) Sighah yang diberi kuasa oleh Mahkamah kepada Hakam.

(a) Lafaz Hakam Bagi Pihak Suami :

“Saya dengan kuasa yang diberi oleh Mahkamah, bagi pihak (nama suami) menceraikan (nama isteri) dengan khul’ sebanyak .............(nilai ringgit)”

(b) Lafaz Hakam Bagi Pihak Isteri:

“Saya sebagai Hakam bagi pihak (nama isteri), menerima khul’ sebanyak .............(nilai ringgit) yang tersebut”

8. Kehadiran Pihak-pihak Dalam Majlis Tahkim

(1) Suami isteri hendaklah hadir dalam Majlis Tahkim jika diperlukan oleh Hakam atau dengan perintah Mahkamah.

(2) Sekiranya satu pihak atau kedua-duanya gagal hadir dalam mana-mana prosiding Majlis Tahkim setelah dipanggil oleh Hakam atau diperintahkan oleh Mahkamah, kegagalan tersebut tidaklah menyebabkan prosiding terhenti.

9. Pemberhentian Prosiding Majlis Tahkim

Prosiding Majlis Tahkim hendaklah terhenti sekiranya salah satu pihak mati atau disahkan gila atau atas sebab-sebab lain yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.


Arahan ini dikeluarkan pada 12hb April 2006 dan menjadi titik mula kepada semua negeri untuk mengwujudkan Kaedah-Kaedah Hakam negeri masing-masing.

Arahan Amalan ini ada sedikit berbeza dengan Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 dari sudut penggunaan istilah, tatacara, fee, dan lain-lain yang akan diterangkan dalam bab selanjutnya.

Hakam, takdir untuk suami.

Dari contoh bagi ketiga-tiga kes yang disebut sebelum ini, semua gambaran menunjukkan bahawa isteri memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah. Perjalanan kes mereka telah sampai kepada peringkat prosiding lantikan Hakam Peringkat Kedua.

Apabila sampai kepada Hakam Peringkat Kedua, juga setelah mereka suami isteri ini menghadiri Majlis Tahkim, keputusan akhir adalah Hakam mengsyorkan perceraian atau tebus talaq. Hakam pun melafazkan cerai atas perintah Hakim Syarie.

Dari sudut pandangan mata suami, mereka telah dianiaya oleh isteri mereka dan undang-undang pula dilihat sebagai menzalimi mereka.

Benarkah begitu?

Pada suatu tahap kritikal seperti ini, dan perceraian serta perdamaian sudah lagi mustahil dicapai, maka Hakam Syarie akan melihat sudut keadilan secara holistik antara suami dan isteri.

Apabila hal keadaaan suami atau isteri tersebut tidak boleh didamaikan lagi, atas apa juga alasan, di sinilah peranan Hakim Syarie menshabitkan syiqaq antara mereka berdua.

Hak menentukan syiqaq ini adalah hak mutlak Hakim Syarie yang mendengar kes tersebut dan bukan lagi hak menentukan hala tuju perkahwinan terletak kepada suami atau isteri.

Hanya Hakim Syarie yang mendengar kes seperti ini dapat mengetahui perbalahan antara kedua suami isteri dan hak Hakim Syarie juga menentukan nasib perkahwinan mereka itu.

Kebanyakkan kes, Hakim Syarie membuat penghakiman membenarkan Hakam melafazkan cerai, walaupun tanpa keredhaan suami adalah kerana untuk kebaikan suami tersebut.

Suami seperti contoh-contoh kes disebutkan sebelum ini berhak untuk hidup bahagia, berhak mendapatkan kasih sayang dari seorang isteri yang solehah. Jesteru, jika perceraian berlaku atas perintah Hakim Syarie, sebenarnya hak-hak suami yang disebutkan tadi dikembalikan kepada suami untuk membina kehidupannya yang baru bersama pasangan yang lain.

Secara tersiratnya, perceraian yang diperolehi oleh isteri-isteri yang disebut di dalam contoh-contoh tadi, adalah satu penghinaan buat mereka - Nauzubillahiminzalik - Semoga Allah mengampunkan kita semua.

Hakam, authoriti syarak

Di dalam surah an-Nisa ayat 35 Allah S.W.T berfirman dengan maksudnya
  
"Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untung mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-duanya "orang tengah" itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua ( suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuanNya".

(tafsir ar-rahman, cetakan kesepuluh)

Di dalam ayat di atas, menjadi sumber rujukan paling utama kepada umat Islam menunjukkan saranan daripada Allah S.W.T sendiri dalam menangani konflik rumahtangga. Perlantikan orang tengah yang dimaksudkan dalam ayat al-Quran di atas disebut secara "harfiah" sebagai "Hakam".

Lantikan "orang tengah" bertujuan untuk mendamaikan suami isteri yang sedang dalam pertikaian, pergaduhan dan persengketaan. Hakam di lantik dikalangan saudara dekat keluarga suami dan sudara dekat keluarga isteri. 

Allah menyebutkan secara khusus ciri Hakam yang ingin dilantik itu adalah dikalangan mereka yang benar-benar ikhlas untuk mendamaikan perhubungan suami dan isteri.

Daripada ayat ini lah yang menjadi sumber hukum yang paling utama dalam figh Munahakat bagi orang Islam yang mengharuskan lantikan Hakam seterusnya diqanunkan menjadi undang-undang bertulis di Negeri Selangor.

Maka lahirlah Kaedah-kaedah Hakam Negeri Selangor 2014 yang menjadi panduan khusus bagi orang Islam di negara ini.