Hakam, Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)

Arahan Amalan No. 1 Tahun 2006
Amalan Hakam Mahkamah Syariah

"Saya ingin menarik perhatian Y.A.A. kepada keputusan Mesyuarat Arahan Amalan Mahkamah Syariah Seluruh Malaysia Tahun 2006 pada 12 hingga 14 April, 2006 bersamaan 13 hingga 15 Rabiulawwal, 1427H di Shah Alam, Selangor yang telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai Amalan Hakam Mahkamah Syariah. Segala prosiding Hakam di dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam hendaklah mengguna pakai Amalan Hakam Mahkamah Syariah".

Jabatan kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah mengeluarkan arahan kepada semua negeri untuk mengguna pakai prosedur hakam pada tahun 2006. Ini membawa maksud, mahkamah-mahkamah syariah seluruh negara harus mengambil pendakatan proaktif mengimplimenkan sepenuhnya seksyen 48 Enakmen Keluarga Islam negeri masing-masing. Arahan ini dari Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Malaysia pada ketika itu.

Dalam Arahan Amalan ini turut menyebutkan:-

"Bersama-sama ini disertakan Amalan Hakam Mahkamah Syariah untuk tindakan bagi pemakaian di negeri-negeri".

Jesteru, Arahan Amalan ini turut disertakan manual pemakaiannya dan menjadi rujukan negeri-negeri seluruh Malaysia. Di sini disertakan kandungan Arahan Amalan tersebut.

1. Syarat-syarat seorang Hakam

(1) Hakam hendaklah terdiri daripada kalangan kaum kerabat daripada pihak suami dan pihak isteri yang pada pendapat Mahkamah mempunyai syarat-syarat atau kelayakan mengikut Hukum Syarak.

(2) Mahkamah boleh melantik orang lain yang mempunyai kelayakan mengikut Hukum Syarak.

2. Tanggungjawab Hakam

Hakam hendaklah menerima arahan Hakim bagi melaksanakan tanggungjawabnya di sisi Mahkamah antaranya seperti berikut:-

(a) setiap hakam hendaklah memanggil prinsipal masing-masing bagi memperolehi punca-punca pertikaian.

(b) kedua-dua hakam hendaklah mengadakan pertemuan dan mengenal pasti serta mencari penyelesaian secara sulh.

(c) sekiranya pihak-pihak gagal menerima penyelesaian secara sulh, hakam hendaklah berusaha memperolehi kuasa daripada prinsipal masing-masing sama ada melafazkan talaq atau secara khulu’;

(d) melaporkan kepada Mahkamah hasil siasatan tersebut, bahawa didapati tiada perdamaian atau tiada keizinan daripada prinsipal untuk penceraian dan mencadangkan kepada Mahkamah supaya melantik Hakam lain untuk diberi kuasa penceraian.

3. Sabitan Syiqaq

Mahkamah hendaklah mensabitkan syiqaq sentiasa berlaku dalam keadaan-keadaan tertentu termasuklah antaranya:-

(a) perbalahan di antara suami isteri itu kadangkala terbitnya dengan sebab nusyuz isteri, atau dengan sebab kezaliman suami, atau dengan terbit kesamaran siapa yang benar di antara kedua-duanya atau berpunca dari kedua-duanya, berdusta atau menuntut yang bukan hak;

(b) perbalahan di antara suami isteri dan sukar keduanya menjalankan aturan Allah yang ditetapkan atas suami isteri itu, tuduh menuduh mengenai masing-masing tidak melaksanakan hak-hak sebagai suami isteri;

(c) isteri atau suami menuduh di antara keduanya berkawan dengan perempuan/lelaki yang telah melampaui hukum syarak ;

(d) sering berlaku pertikaian hingga pukul memukul;

(e) salah seorang keluar dari rumah kediaman, tidak tinggal bersama sedangkan punca sebenar tidak dapat dibuktikan oleh kedua-dua belah pihak di hadapan mahkamah;

(f) tuduh menuduh di antara suami isteri mengenai anak-anak berkaitan dengan tanggungjawab masing-masing sehingga berlaku pertengkaran dan perselisihan yang berpanjangan;

(g) jika didapati bahawa aduan isteri itu tidak sabit dan ditolak Mahkamah dengan sebab ia tidak dapat membuktikan kebenarannya dan kemudian daripada itu isteri berulang-ulang membuat aduan dan Mahkamah mendapati pertikaian sentiasa berlaku di antara suami isteri tersebut,

(h) apa-apa tindakan yang menyebabkan darar syarie ke atas isteri.

4. Tatacara Pelantikan Hakam

(1) Sebelum melantik Hakam Mahkamah hendaklah -

(a) mensabitkan syiqaq sentiasa berlaku antara suami isteri di hadapannya.

(b) mengarahkan suami dan isteri mengemukakan seorang wakil dari pihak masing-masing kepada Mahkamah yang sesuai dan layak dilantik sebagai Hakam dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah dengan menggunakan Borang AH 1;

(c) setelah kedua-dua pihak mengemukakan nama-nama wakil kepada Mahkamah, hakim hendaklah melantik dan mengisytiharkan sebagai hakam bagi kedua-dua pihak. Jika pihak-pihak gagal mengemukakan wakil masing-masing, Mahkamah akan melantik seorang hakam bagi setiap pihak seperti dalam Borang AH2;

(d) jika salah satu pihak gagal mengemukakan wakil, Mahkamah mempunyai kuasa untuk melantik hakam bagi pihak yang gagal mengemukakan wakil tersebut, tertakluk kepada syarat-syarat di dalam Arahan 1.

5. Tatacara dan tempoh perjalanan penimbangtaraan

(1) Sesuatu tempoh perjalanan penimbangtaraan pada peringkat permulaan tidaklah boleh dilangsungkan lebih daripada satu bulan dari tarikh perintah perlantikan Hakam;

(2) Mahkamah boleh atas budibicaranya melanjutkan tempoh perjalanan penimbangtaraan jika difikirkan patut tidak melebihi satu bulan jika had masa yang diberikan di dalam sub Arahan (1) tidak dapat dipenuhi;

(3) Hakam peringkat ini tidak berkuasa menceraikan suami isteri kecuali dengan keizinan kedua belah pihak suami isteri tersebut;

(4) Jika Mahkamah tidak berpuas hati dengan cara salah seorang atau kedua-dua Hakam menjalankan penimbangtaraan itu, Mahkamah boleh memecat salah seorang atau kedua-dua mereka dan melantik Hakam lain sebagai ganti;

(5) Kuasa penuh daripada prinsipal mengikut subseksyen 48(5) Akta Undang-undang Keluarga Islam hendaklah diberikan kepada Hakam dengan menggunakan Borang AH3;

(6) Mahkamah hendaklah memanggil pihak-pihak ke Mahkamah pada masa, tarikh dan tempat yang ditentukan dan pada peringkat ini, Hakim boleh membenarkan Hakam melafazkan talaq atau khulu’;

(7) Jika Hakam tidak mendapat kuasa penuh daripada prinsipal mereka sepertimana sub Arahan 5, Mahkamah hendaklah melantik Hakam lain dan hendaklah memberi kuasa kepada Hakam menceraikan isteri itu dengan khulu’ seperti dalam borang AH 6;

(8) Mahkamah boleh membatalkan pelantikan mana-mana Hakam pada bila-bila masa sekiranya tidak berpuashati dengan cara pelaksanaan penimbangtaraan atau atas apa–apa sebab yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah.

(9) Mahkamah boleh atas budibicaranya melanjutkan tempoh perlaksanaan Hakam jika difikirkan patut tidak melebihi tempoh satu bulan jika had masa yang diberikan di dalam sub Arahan 2 tidak dapat dipenuhi.

6. Etika Hakam

(1) Hakam hendaklah –

(a) bersungguh-sungguh dan tidak melengah-lengahkan tanpa alasan yang munasabah menyelesaikan syiqaq dan mematuhi arahan yang dikeluarkan mahkamah;

(b) dalam menjalankan tugasnya melaksanakan keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh Hukum Syarak;

(2) Hakam tidak boleh –

(a) Berkelakuan dengan sedemikian cara yang mungkin menyebabkan syak yang munasabah bahawa -

i. Dia telah membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugasnya sebagai Hakam;

ii. Dia telah menggunakan kedudukannya bagi kepentingannya sendiri atau pihak ketiga.

(b) Berkelakuan dengan cara tidak jujur atau dengan sedemikian cara hingga memburukkan atau mencemarkan nama baik Mahkamah;

(3) Jika didapati Hakam tidak mematuhi mana-mana etika tersebut di atas, Mahkamah bolehlah membatalkan perlantikannya.

7. Sighah Khul’ di hadapan Mahkamah

(1) Sighah yang dipersetujui oleh prinsipal dan dibenarkan oleh Mahkamah :-

(a) Lafaz Ijab Hakam pihak Suami hendaklah seperti berikut:
“Saya dengan kuasa yang diberi oleh (nama suami), menceraikan ( nama isteri ) dengan khul’ sebanyak ( nilai ringgit )” ;

(b) Lafaz tersebut hendaklah diqabul dengan serta- merta oleh hakam pihak isteri seperti berikut:-
“Saya terima khul’ bagi pihak (nama isteri) atas persetujuannya sebanyak ( nilai ringgit ) yang tersebut. ”

(2) Sighah yang diberi kuasa oleh Mahkamah kepada Hakam.

(a) Lafaz Hakam Bagi Pihak Suami :

“Saya dengan kuasa yang diberi oleh Mahkamah, bagi pihak (nama suami) menceraikan (nama isteri) dengan khul’ sebanyak .............(nilai ringgit)”

(b) Lafaz Hakam Bagi Pihak Isteri:

“Saya sebagai Hakam bagi pihak (nama isteri), menerima khul’ sebanyak .............(nilai ringgit) yang tersebut”

8. Kehadiran Pihak-pihak Dalam Majlis Tahkim

(1) Suami isteri hendaklah hadir dalam Majlis Tahkim jika diperlukan oleh Hakam atau dengan perintah Mahkamah.

(2) Sekiranya satu pihak atau kedua-duanya gagal hadir dalam mana-mana prosiding Majlis Tahkim setelah dipanggil oleh Hakam atau diperintahkan oleh Mahkamah, kegagalan tersebut tidaklah menyebabkan prosiding terhenti.

9. Pemberhentian Prosiding Majlis Tahkim

Prosiding Majlis Tahkim hendaklah terhenti sekiranya salah satu pihak mati atau disahkan gila atau atas sebab-sebab lain yang diiktiraf oleh Hukum Syarak.


Arahan ini dikeluarkan pada 12hb April 2006 dan menjadi titik mula kepada semua negeri untuk mengwujudkan Kaedah-Kaedah Hakam negeri masing-masing.

Arahan Amalan ini ada sedikit berbeza dengan Kaedah-Kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 dari sudut penggunaan istilah, tatacara, fee, dan lain-lain yang akan diterangkan dalam bab selanjutnya.

No comments:

Post a Comment